Ahad, 17 Jun 2012

Kerana Lelaki


LELAKI boleh membuat wanita bahagia , juga sengsara. Tidak kurang wanita sanggup melakukan apa saja , demi mengikat kasih dan kesetiaan lelaki sehingga tidak sedar banyak perkara memudaratkan diri atau suami. Agak aneh dan pelik memikirkan ada wanita sanggup menahan sakit dan perit semata-mata hendak cantik atau rela melalui pelbagai derita dan kecewa kerana LELAKI.
 
Antara keadaan yang biasa kita dengar dan bisa membuat kita geram sebentar malah sukar diterima akal ialah bila mana ada isteri sanggup tunggu meskipun dipukul balun, ditendang terajang , dihina dan dikata nista. Amat sedih melihat isteri begini masih mahu melutut dan memaut pada kaki suami minta dikasihi dan dikasihani. Mereka rela diperlakukan apa saja asal tidak ditinggalkan. 


Ada pula , belum sah menjadi isteri , baru bertunang atau berkenalan , sudah ditampar dan disepak , pun masih enggan meninggalkan si jantan..ajaib ajaib... ilmu apa yang diguna dek jantan sebegini... ? Mengapa wanita begitu lemah apabila berhadapan dengan LELAKI dan sanggup membenarkan maruah dipijak dan harga diri dihenyak begini? 


Apakah memang fitrah perempuan dijadikan demikian? Kononnya demi mempertahankan cinta dan ikatan kekeluargaan... ? Tetapi bijakkah menegakkan rumahtangga yang sudah jelas tidak membahagiakan..? Tidak kurang jua wanita yang meletak suami dipuncak sehingga diri sendiri tidak dipeduli. Suami dianggap segala-galanya dalam hidupnya. 


Tiada pengorbanan terlalu membebankan. Tiada sakit terlalu perit. Tiada perkara terlalu payah. Semuanya demi mengikat kasihnya. Ubat paling kelat atau ulam paling pahit sanggup ditelan , demi memelihara kelangsingan badan dan kecantikan. Badan letih bekerja seharian bukan alasan menolak keinginan suami. 


Apalagi wanita Islam dijanjikan syurga apakala mentaati segala kemahuan suami. Bertuahlah isteri yang suaminya memahami bahawa tugas isteri hanya melayan suami dan mendidik anak serta berkemampuan pula. Semua keperluan dan kewajipan rumahtangga cukup tersedia agar isteri tidak kepenatan, hanya memasang badan dan menjaga kecantikan untuk tatapan suami seorang. 


Namun kebanyakan suami TIDAK termasuk dalam golongan ini. Mereka mahu semuanya sekali tanpa banyak memberi. Isteri mesti bekerja membantu menambah pendapatan keluarga atau sekadar memelihara martabatnya sendiri apabila berjaya memikat wanita berkerjaya... . ? Namun dia masih diharap pandai memasak , rajin mengemas , bijak mendidik anak-anak serta hebat diranjang... 

Inilah penasaran wanita , terpaksa menjadi segala-galanyanya dan menanggung semuanya kerana LELAKI. Sanggupkah anda... ..? Tepuk dada tanya selera... ..?!! 


Jelita-2001

Sabtu, 9 Jun 2012

Aku Cinta Padamu


"Cara yang paling sederhana adalah mengatakan Aku cinta padamu atau 'I love you. Mengungkapkan kalimat tersebut merupakan langkah besar bagi lelaki kerana kalimat tersebut mengungkap erti tentang perasaannya. Menurut beberapa penulis artikel tentang perhubungan dan percintaan, mengucapkan kalimat 'Aku cinta padamu' seperti memberikan sepenuh jiwa raga kepada kekasihnya. 

Tindakan tersebut begitu menakutkan kerana bimbang cinta tidak diterima oleh wanita yang dicintai. Lelaki umumnya takut akan penolakan. Ramai lelaki ingin berasa tenang dan aman dalam sesebuah perhubungan untuk menyelami perasaan wanita sebelum berani mengatakannya. 

Ungkapan tiga suku kata tersebut bererti menawarkan suatu komitmen. Bagi kebanyakan lelaki, cinta diwujudkan dalam tindakan, jadi perkataan tersebut merupakan suatu janji yang harus diikuti dengan tindakan. Secara sederhana dengan mengatakan kalimat tersebut bermakna mereka bersetuju untuk bersama dengan wanita yang mereka cintai. Jika mereka tidak melakukannya, mereka akan merasa tidak berguna. 

Lelaki juga beranggapan bahawa mengatakan  Aku cinta padamu  bererti 'Saya tidak akan meninggalkanmu  atau  Saya akan selalu dapat dipercayai . Hal ini akan membuat golongan lelaki bimbang. Mereka merasa kalimat mereka merupakan suatu janji. Dan jika janji tidak ditepati, mereka akan menderita. Mereka ingin anda merasa lebih enak dan merasa senang terhadap mereka. 

Menawarkan bantuan sebagai membuktikan kewujudan cinta. Biasanya lelaki memberikan banyak hadiah, seperti hadiah yang dibungkus rapi, minyak wangi, bunga dan lain-lain. Namun sebenarnya ada hadiah yang mungkin tidak diperhatikan oleh kaum wanita, seperti waktu yang diperuntukkan oleh golongan lelaki untuk menemani kekasihnya. Bagi lelaki ini merupakan hadiah. Waktu yang diberikan dengan bertemu anda daripada berkumpul dengan keluarga atau teman merupakan salah satu ekspresi cinta. 

Sokongan lelaki ketika wanita berada dalam kesusahan juga berupa hadiah bagi seorang lelaki kepada wanita. Terutama ketika saat-saat genting yang sudah pasti wanita memerlukan bantuan lelaki untuk menemaninya di samping memberikan kata-kata semangat untuk menempuh dugaan dan cubaan tersebut. 

Jika ciri-ciri di atas mirip dengan pengalaman anda, tidak dapat diragukan lagi bahawa lelaki itu suka kepada anda, hanya si dia agak susah mengutarakan perasaannya. Cara untuk memahami golongan lelaki seperti ini boleh dibahagiakan kepada dua aspek, semua tindakan tersebut merupakan kewujudan cintanya, dan dia ingin anda mengetahuinya”.

Jumaat, 1 Jun 2012

Nikmat Cinta Sebenar


Hiasan

Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad pesuruh-Nya"

Kalau ada kepercayaanmu demikian, maka Allah tidaklah akan mensia-siakan engkau. Sembahlah Dia dengan khusyuk, dan ingatlah Dia pada waktu kita senang supaya Dia ingat kepada kita pada waktu kita sengsara. Dialah yang akan membimbing tanganmu. Dialah yang akan menunjukkan haluan hidupmu. Dialah yang akan menerangi jalan yang gelap.

Jangan takut menghadapi CINTA. Ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan matahari dan memberinya cahaya. Allah menjadikan bunga dan memberinya wangi. Allah menjadikan tubuh dan memberinya nyawa. Allah menjadikan mata dan memberinya penglihatan. Maka Allah pulalah yang menjadikan hati dan memberinya CINTA.

Jika hati mu diberi-Nya nikmat cinta sebagaimana hati ku, marilah kita pelihara nikmat itu sebaik-baiknya, kita jaga dan kita pupuk, kita pelihara supaya jangan dicabut tuhan kembali.

Cinta adalah iradat tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau dia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyiksa orang lain. Kalau dia datang pada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, dia akan membawa kerosakan. Tetapi jika dia hinggap kepada hati yang suci, dia akan mewariskan KEMULIAAN, KEIKHLASAN dan taat kepada Ilahi.

Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan untuk menempuh onak dan duri kehidupan.

Cinta tak bergantung kepada wang. Kalau dua insan bercinta dapat bertemu, kesenangan dan ketenteraman fikiran adalah kekayaan hakiki. Lebih dari timbunan emas, lebih dari segenggam berlian malah lebih dari segala-galanya. Itulah kebahagiaan yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.

Nikmat Ilahi ada di sekeliling tiap-tiap insan, ada di dusun, ada di kota, ada di lurah, ada di daratan dan adadilautan. Tetapi nafsu tidak pernah merasa puas atau tidak ingat akan nikmat yang ada di sekelilingnya. Yang sentiasa diperhatikannya ialah nikmat yang ada di tempat lain dan di tangan orang lain. Kelak kalau ada kesempatan pindah ke tempat yang dilihatnya itu, dia akan menyesal dan dia teringat pulang, iaitu pada hari yang tiada berguna padanya penjelasan lagi...

Alam itu kadang-kadang bisu dan kadang-kadang berkata, kadang-kadang muram dan kadang-kadang gembira rupanya. Semua itu bergantung kepada warna teropong hati yang melihatnya. Boleh pada suatu waktu kita akan datang kepada suatu tempat dengan hati yang hiba, maka muramlah cahaya matahari dan... lain kali kalau kita datang ke tempat itu juga dengan hati gembira, dia akan turut gembira. 

Kalau bukan demikian, tentu samalah bentuk lukisan dan gambaran yang dilukis oleh ahli-ahli lukisan yang mahir. Demikianlah juga bunyi dan maksud syair yang dicipta para pujangga. Boleh memuji dan menyanjung nikmat keindahan alam dan boleh pula menyesali dan memperlihatkan buruknya. 

Jangan sampai terlintas dalam hati mu bahawa di dunia ini ada satu kebahagiaan yang melebihi nikmat cinta. Jika diri mu percaya ada kebahagiaan selain cinta maka akan binasalah hidup mu. Kau akan meletakkan vonis kematian ke atas diri mu sendiri.

Cinta bukan mengajar kita lemah tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan melemahkan semangat tetapi membangkitkan semangat.

Demikianlah ilham yang dibawa oleh cinta yang suci. Cinta yang suci adalah laksana setitis embun yang turun dari langit ke atas bumi Allah ini. Jika sekiranya bumi yang menerimanya itu subur, maka tumbuhlah di atasnya beraneka warna bunga-bungaan yang harum semerbak. Menanamkan damai, aman, sentosa, insaf, rasa percaya kepada diri sendiri.

Dalam hal yang begini embun cinta yang setitis itu akan membawa manusia ke mayapada yang mulia. Tetapi jika cinta jatuh ke bumi yang tidak subur, yang tandus dan penuh batu-bata, tidak ada yang akan tumbuh di sana, lain dari sirih memanjat batu, kuning daunnya lemah gagangnya.

Orang itu menjadi putus asa, cemburu sesama manusia, hilang kepercayaan kepada nikmat yang tersimpan dalam hidup. Atau menjadi seorang yang pembenci, kurang percaya pada diri sendiri, kadang-kadang pendendam dan mudah berkecil hati.

Wassalam.

Ikhlas Untuk Renungan Bersama...

send credit two : cekal from KasihSayang@groups
vf