Isnin, 15 April 2013

Mengapa Kita Jatuh Cinta?


Jatuh cinta, tiba-tiba sahaja membuatkan hidup berubah. Hidup tiba-tiba menjadi warna-warni. Cara berfikir, merasa dan melihat bertukar. Segala-galannya jadi indah. Nikmat dan menyeronokan. 


Mengapa kita jatuh cinta? 
Sebenarnya kesediaan untuk bercinta ada pada setiap orang. Keadaan ini berlaku apabila dalam diri kita berlaku dua dorongan: 

( 1 ) kita mengalami perasaan inginkan cinta. Ertinya pada ketika itu kenikmatan hubungan yang bermakna tidak kita perolehi. Kita tidak bahagia dengan kehidupan pada waktu itu. Lalu jika ada insan yang menyintai kita, maka hasrat yang selama ini beku tiba-tiba sahja mengalir memenuhi keperluan-keperluan cinta kita. 

( 2 ) untuk jatuh cinta kita haruslah bertemu dengan orang yang mampu memenuhi citarasa kita. Dalam hal ini sekiranya keperluan-keperluan asas kehidupan seperti kasih sayang, status, seks dan wang masih belum mencukupi, kita tidak cerewet untuk jatuh cinta. Tetapi bila semua itu sudah ada, kita akan memilih. Memilih mengikut keperluan-keperluan khusus yang kita kehendaki. 

Dalam situasi kita memerlukan cinta, tiba-tiba bila muncul seseorang dalam hidup kita, emosi kita akan mengalami perubahan secara mendadak. Pelbagai perasaan dan nafsu yang kuat dan mendalam akan tertumpu pada orang itu. Hidup kita tiba-tiba menjadi seronok. Asyik. Tembok emosi kita pecah. Cinta mencurah-curah. Keperluan yang selama ini kita idamkan tiba-tiba mendesak agar dipenuhi. Lalu kita percaya orang yang kita cintai itu dapat memenuhi segala keinginan dan keperluan kita. Pada saat ini, kita seperti terhumban ke jurang yang maha dalam. Kita tidak mampu menahannya. Kita tiba-tiba sahaja gagal menguasai diri. Segala-galanya tertumpu pada insan yang kita cintai itu. 

Entah mengapa! Entah mengapa kita tidak ketahui. Insan itu semacam mengoda-goda kita. Kita mabuk. Perasaan kita tidak dapat dikawal lagi. Fikiran dan perasan sering bertempur. Sengit. Tapi fikiran sering kali tertewas oleh perasaan. Kita jadi keliru. Gagal membezakan antara godaan dan cinta. Pada kita kedua-duanya sama. Kedua-duanya serupa. Akal fikiran kita tidak mampu menilai dan membezakannya. 

Dalam percintaan, kebimbangan utama yang sering dialami ialah takut kehilangan cinta, atau takut tidak mendapat cinta sepenuhnya. Akibatnya lahirlah rasa cemburu. Kita mula kurang yakin dengan diri sendiri. Kita berasa semua tidak selamat. Kita berasa amat terancam sekali. 
Memang kita tahu, orang yang kita cintai boleh meninggalkan kita bila-bila masa. Dia boleh mendapatkan orang lain yang lebih hebat daripada kita juga bila-bila masa. Sesungguhnya tiada pengalaman lain yang paling menyayat, pilu dan menyakitkan selain daripada pengalaman ditinggalkan oleh orang yang kita cintai begitu saja. Kepedihan itu boleh membunuh seluruh semangat kita meneruskan kehidupan ini. Kita bimbang perkara itu akan terjadi pada diri kita. Kita jadi serba salah. Tidak berdaya. Akibatnya kita semakin bergantung emosi padanya. Kita amat mengharapkan cintanya. 

Jatuh cinta menjadikan kita seperti gila. Kita akan terlalu berhati-hati dan teliti membaca perasaan orang yang kita cintai. Kita tiba-tiba menjadi pakar penafsir percakapan dan gerak gerinya. Kita kerap tidak mempedulikan apa yang kita lihat dan dengar. Kita anggap itu fitnah. Tetapi bila cinta kita berakhir dengan kegagalan barulah kita sedar. Barulah kita dapat menerima hakikat, bahawa sejak awal-awal lagi sudah nampak tanda-tanda negatif tapi waktu itu kita tidak hiraukan. Kita dibutakan oleh cinta kita padanya. 

Bila kita dilanda cinta, kita sering mengawasi perlakuan dan tindak-tanduk orang yang kita cintai. Kita sentiasa menghitung dan mencatat berapa lama dia tidak menelefon, bila kali terakhir dia datang, apa yang dia kata, apa yang dia buat dan pelbagai lagi. Kita menjadi lebih peka. Lebih tajam mengesan tanda-tanda samada dia semakin mencintai kita atau semakin menjauhkan diri dari kita. Semuanya kita perhati dan fikirkan. 

Begitupun pandangan kita hanya lebih peka dan tajam kalau kita belum benar-benar menyerahkan hati kita kepadanya. Dalam keadaan yang belum lagi rapat, jika kita nampak ada tanda-tanda dia mahu mengundurkan diri, kita akan segera memutuskan hubungan itu supaya tidak terlalu kecewa. Kita boleh memujuk hati untuk menyatakan bukan dia yang meninggalkan kita. Tetapi bila cinta kita begitu mendalam dan nampak ada tanda-tanda dia akan mengundurkan diri, kita tidak akan cuba memutuskan hubungan itu. Malah kita akan menyintainya dengan lebih gila-gila lagi. 

Dalam keadaan emosi yang begini, kita cuba sedaya upaya menguasai tindak-tanduk orang yang kita cintai. Pelbagai daya penarik kita gunakan. Kita mahu jadikan diri kita orang yang paling menarik, unggul dan anggun dimatanya. Kita melakukan bermacam-macam cara supaya kita kelihatan elok pada pandangannya. Cara menyikat rambut kita ubah. Fesyen pakaian kita ubah. Kaca mata, kasut dan apa saja kita akan ubah asalkan kita kelihatan amat sempurna dan menarik dimatanya. 

Bukan setakat itu saja, malah kita akan memberi perhatian yang lebih dan mendalam apa yang dia suka dan kita tunjukkan padanya, kita suka apa yang dia suka. Kita berminat dengan kerjanya, hobinya dan apa saja kesukaannya. Dan pada masa ini semua warna diri kita kita tukar sesuai dengan warna kesukaannya. Kita berharap dia dapat melihat kita sebagai orang yang paling sesuai dan memenuhi keperluannya. 

Pada masa ini juga kita akan cuba mengoda dan menambat hati orang yang kita cintai itu dengan cara menutup atau membuang perangai buruk yang ada pada diri kita. Kalau dulu kita malas berkemas, tiba-tiba kita jadi rajin berkemas. Kita pandai bergurau senda. Kita boleh ketawa. Mendengar masalahnya. Kita boleh bertolak ansur. Kita mudah menyetujui pandangan dan pendapatnya. Kita tidak banyak meminta daripadanya. Kita akan menjadi manusia yang tidak cerewet pada masa itu. 

Kalau sebelumnya kita sangat berhati-hati berbelanja, tetapi bila jatuh cinta otak kita menjadi kelam-kabut. Urusan-urusan yang tidak mustahak dahulunya menjadi urusan besar. Yang dahulunya tidak penting kini menjadi amat penting. Dan yang penting kita perlu menarik minat orang yang kita cintai. Jadi bukan sesuatu yang aneh pada masa ini kita suka memberikan pelbagai pemberian berupa hadiah dan tanda mata. Pemberian itu bisanya pula berharga, romantik dan sentimental. Kita mengharapkan dengan pemberian itu dia membalasnya dengan memberikan cintanya pada kita. Kita menjadikan amat pemurah sekali. Tidak kedekut. Malah kita menjadi orang yang sangat budiman dan dermawan. 

Kita lakukan semua itu agar cinta kita terjamin. Kita tidak dikecewakan. Orang yang kita cintai tidak lari begitu saja. Tidak meninggalkan kita. Kita sedaya upaya cuba membuat dia terpukau oleh sifat-sifat palsu kita. Pada kita, usaha dan tipu daya yang kita lakukan adalah sesuatu yang normal dan perlu dilakukan. Kepalsuan dan kepura-puraan kita itu adalah usaha untuk menakluki hati dan perasaan orang yang kita cintai. Dan setelah kita yakin cintanya berjaya kita tawan dan kuasai kita akan kembali siuman. Normal seperti biasa. 

Kuasa! Dalam hidup ini, kita mahukan kuasa. Cuma kita tidak mahu mengakuinya. Ini termasuklah dalam soal-soal percintaan. Tapi kita menafikannya kerana perilaku itu dianggap negatif. Sebenarnya keinginan berkuasa dan cinta adalah perkara biasa. Secara normal biasanya kita lakukan dengan perkara-perkara positif seperti dedikasi dan layanan yang baik. Tapi adakalanya usaha yang kita lakukan begitu negatif. Kita sanggup melakukan ancaman dan menggunakan bomoh untuk mendapatkan cinta itu. 

Apabila kita menggunakan cara-cara negatif kita sebenarnya berusaha menguasai pasangan kita. Sebalinya apabila kita menggunakan perkara-perkara positif kita sebenarnya cuba menguasai faktor-faktor emosi yang ujud disekeliling kita untuk memenuhi keperluan-keperluan kita dengan sebanyak-banyaknya. Kita cuba memikat hati pasangan kita seerat-eratnya agar dengan demikian kehadiran dirinya melengkapkan lagi kehadiran diri kita. 

Dalam diri manusia ini ada perkara-perkara yang disukai dan dibenci. Pengalaman hidup mengajar kita tentang itu. Kita juga tahu orang yang bagaimana kita perlukan untuk memenuhi keinginan lahir batin kita. Kerana itu kita mula belajar mengasuh diri. Kita ingin memiliki sifat-sifat sesempurna mungkin seperti penampilan yang menarik, kebijaksanaan, pengetahuan, berjaya dalam bidang pekerjaan, bakat dan keseksian. 

Dalam hal ini penampilan amat penting. Faktor penampilan menjadi faktor terkuat untuk membuat seseorang tertarik pada kita. Adanya faktor ini membuatkan kita yakin pada diri sendiri untuk menarik perhatian orang sekeliling kita. Kajian menunjukan kejelitaan atau ketampanan penting pada peringkat awal perkenalan. Dan selepas itu baru faktor-faktor lain yang disebut tadi menjadi penting. Bagaimanapun faktor penampilan sebenarnya tidak berjaya mengekalkan cinta itu. Ia bersifat sementara. Cinta yang berpanjangan ditentukan oleh ciri-ciri positif keperibadian kita seperti kemesraan, keghairahan hidup, simpati, kesopanan, kejujuran, kepintaran, keyakinan diri dan kreativiti. Inilah ciri-ciri yang dapat meninggi atau merendahkan daya kuasa diri untuk memikat orang yang kita kasihi. 

Pasangan yang sama-sama memiliki kuasa tarikan yang sama kuat terhadap satu sama lain, akan berasa seolah-olah ada semacam 'cinta pandang pertama' dari awal perkenalan mereka. Tetapi satu hal yang sering terjadi, daya kuasa tarikan ini tidak kekal. Ada masa menurun dan ada masanya menaik. Kalau kita lebih menyintai seseorang, ini bermakna orang itu mempunyai daya kuasa tarikan yang kuat daripada kita. Dan begitu juga sebaliknya. 

Ketidakseimbangan daya kuasa tarikan cinta boleh menyebabkan kita kehilangan cinta yang kita ingini. Pihak yang mempunyai daya tarikan rendah akan merasa dirinya sangat menyintai pasangannya. Manakala pihak yang merasa kuasa tarikannya tinggi akan merasa dia kurang menyintai pasangannya. Makanya di sini kiranya lelaki merasakan kuasa tarikannya rendah, dia akan berasa serba kekurangan. Dia berasa dirinya tidak tampan dan tidak sepadan dengan perempuan itu. Dia mula resah. Serba salah. Mula berasa takut dia akan kehilangan orang yang dikasihi. Dia juga berasa tidak mampu menandingi lelaki-lelaki lain. Dia menganggap dirinya serba kekurangan. 

Dalam keadaan beginilah si lelaki mula berasa cintanya pada perempuan itu bertambah. Dia akan berusaha untuk membuktikan cintanya. Dia sedia melakukan apa saja asal si perempuan itu terus menyintainya. Kadang-kadang usaha yang dibuatnya secara terbuka sehingga dapat dilihat dengan jelas oleh orang lain. Si lelaki mahu sentiasa berada bersama si perempuan tersebut. Si lelaki mahu membuat itu dan ini bagi perempuan tersebut. Si lelaki takut jika dia tidak ada, akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Dia takut si perempuan digoda oleh lelaki lain. 

Tindakannya ini membuatkan si perempuan mula berasa dirinya diikat, dikongkong dan dicemburui. Si perempuan mula berasa cinta si lelaki itu merimaskan. Menyesakkan. Malah dia mungkin bingung kerana tidak faham mengapa dia dicemburui sedangkan dia tidak ada apa-apa hubungan dengan lelaki lain. Dan bila keadaan ini berlaku, kemungkinan cinta si perempuan mulai berkurangan pada lelaki tersebut. Si perempuan kemungkinan berasa cinta yang membuak-buak daripada lelaki itu sesuatu yang tidak menghairahkan. Si perempuan kini berasa begitu yakin akan cinta si lelaki itu padanya. Keyakinan itu menyebabkan si perempuan menjadi sangat berkuasa dalam menentukan arah cinta mereka.

Khamis, 4 April 2013

Cara Membahagiakan Kedua Ibu Bapa

SETIAP anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa demi membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan mulia.

Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk material dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.

Antara bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa.

Memberi nafkah. 

Adaibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Jika bekerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.

Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.

Menyediakan tempat tinggal.

Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal atau tidak sesuai untuk didiami, menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal lebih sesuai kepada ibu bapa.

Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.

Memberi kasih sayang. 

Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini dicurahkan ibu bapa. Jadi, seharusnya kasih sayang itu dibalas sebaik-baiknya.

Anak yang baik tidak melupakan jasa dan kasih sayang ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.

Firman Allah bermaksud: "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil." (Surah al-Isra, ayat 24)

Memberi perhatian. 

Ibu bapa yang diabaikan akan kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak dipedulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.

Ramai ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah penjagaan orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa, sedangkan mereka mampu menjaga dan membesarkan beberapa anak.

Memenuhi permintaan. 

Ibu bapa sering memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.

Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat dan seumpamanya.

Malah, keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama daripada berjihad di medanperang. Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: "Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: "Apakah perbuatan disukai oleh Allah?" Lalu Baginda bersabda: "Sembahyang pada waktunya." Kemudian apa?" tanya saya lagi. Baginda menjawab: "Berbakti kepada kedua ibu bapa." Saya bertanya: "Apa lagi." Jawab Baginda: "Berjihad pada jalan Allah."

Melakukan apa yang disukai.

Ibu bapa tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka.

Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa." (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: "Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Maka, sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati."

 Bercakap dengan lemah lembut. 

Satu cara menjaga perasaan ibu bapa adalah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendak direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.

Firman Allah bermaksud: "Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua-dua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata 'cis' terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi, berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut." (Surah al-Israk, ayat 23).

Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.

Menghadiahkan kejayaan.

Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.

 Meluangkan masa bersama-sama.

Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi mereka. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.

Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa. 

Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan walaupun mereka meninggal dunia.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya." (Hadis riwayat Muslim).

Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.

Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup.