PASANGAN adalah 'sahabat' kita yang paling
rapat dan setia. Tidak kira waktu suka, duka, pasangan kita pasti akan sentiasa
berada di sisi. Tetapi seringkali kita menganggap pasangan sebagai orang
terakhir yang perlu dijaga hatinya kerana mereka pasti akan menerima kita
seadanya.
Ada yang mengambil
mudah dari segi percakapan dan tidak menghormati pasangan sebagai mana mereka
menghormati orang lain.
Dari segi
penampilan pula, ramai yang mengambil kesempatan dengan tidak menjaga diri atau
paras rupa kerana mereka tahu hakikatnya mereka sudah mempunyai pasangan yang
akan menerima mereka walau apa pun yang terjadi.
Kalau ada yang
beranggapan begitu pastikan anda ubah tanggapan tersebut kerana pasangan
kitalah orang yang paling perlu dijaga dan hormati. Kita juga perlu tampil
menarik untuk pasangan dan bukan untuk orang lain.
Penulis berminat
untuk berkongsi satu ungkapan daripada tokoh motivasi tersohor negara, Dato' Dr
Hj Mohd Fadzilah Kamsah, ujarnya; "Jika mahu diri disayangi, beri kasih
sayang kepada orang dahulu". Maksud lain yang dapat penulis simpulkan di
sini ialah, jika kita mahu dihargai pasangan, maka kita harus memberikan yang
terbaik kepada mereka barulah kita akan mendapat kebaikan yang sama juga.
Sesuai dengan topik
kita cantik luaran dan dalaman, antara perkara yang perlu diberi perhatian
ialah berhemah apabila berbicara, tampil dengan rupa yang menarik dan bersih
serta menjaga hati pasangan dengan baik.
Bagi yang mahu
berubah namun tidak tahu caranya, panduan di bawah mungkin boleh membantu.
Pertama: Paling penting dalam perhubungan
ialah komunikasi yang baik.
Seringkali kita
mengabaikan komunikasi yang baik dengan pasangan. Kata ganti nama diri seperti
aku dan kau digunakan dalam perbualan harian, padahal lebih molek jika
panggilan seperti 'sayang' atau 'abang' digunakan kerana itu boleh memupuk
kemesraan.
Seperti
persahabatan, pasangan yang baik perlu komunikasi yang jujur. Perlu bersedia
untuk memberi pandangan, nasihat menasihati bila keadaan memerlukan. Jika salah
seorang ingin meluahkan masalah, seorang lain perlu mendengar dengan baik.
Jangan pula cuba
masuk campur dalam urusan pekerjaan dan keluarga jika tidak diminta. Jika ada
yang berkecil hati, pastikan disuarakan dengan baik untuk mengelakkan salah
faham yang lebih buruk.
Kedua: Anda dikehendaki menjadi pendengar
yang setia. Bila pasangan anda dilanda masalah sebagai contoh di tempat kerja,
bersedialah untuk menjadi pendengar dan jangan sesekali mengadili pasangan anda
itu walaupun sebenarnya anda tahu bahawa dia yang punca masalah itu.
Apa yang perlu
ialah dengar dan beri nasihat secara umum sahaja.
Ketiga: Memastikan bahawa anda tidak bertepuk
sebelah tangan. Maknanya bukan anda sahaja yang menganggap pasangan anda itu
perlu dihormati, malah dia juga perlu menghormati anda.
Jika ada sahabat
lain yang mengutuk pasangan anda di belakangnya, andalah orangnya yang penuh
yakin untuk menjadi pembela pasangan anda itu.
Tetapi jika memang
pasangan anda melakukan kesalahan, terus-teranglah bahawa anda tidak selesa dia
melakukan begitu, pilih perkataan yang sesuai untuk menegur dan tegurlah dengan
berhati-hati agar tidak mengecilkan hatinya.
Seringkali kita
mendengar rakan kita mengomel tentang bentuk tubuhnya yang semakin berisi dari
hari ke hari.
Perkara yang amat
lazim terjadi kepada wanita itu seperti lumrah terutama selepas melahirkan anak.
Memang ia amat
merisaukan namun apa yang penting selain kerisauan itu ialah tindakan segera
yang perlu diambil bagi menangani masalah tersebut.
Keempat: Laburlah sedikit wang untuk
penampilan anda, tak kira sama ada untuk menguruskan badan, mencantikkan kulit,
berbaju baru dan sebagainya semuanya ada harga yang perlu dibayar.
Namun percayalah ia
adalah satu pelaburan yang baik demi perhubungan anda. Tapi tidak kira sama ada
anda lelaki atau perempuan perlulah sama-sama mengambil berat tentang
penampilan anda.
Kebersihan harus
dijaga dan perlu amalkan disiplin diri. Pilihlah pakaian yang kemas dan
pastikan anda melakukannya ikhlas untuk pasangan anda.
Jangan bila hendak
ke kenduri atau berhari raya baru hendak bergaya. Sepatutnya bergayalah di
rumah kerana ada mata dan perasaan yang lebih penting untuk dijaga.
-vf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan