Hiasan |
Mengapa kita perlu
berdoa? Bukankah Allah SWT sememangnya tahu semua keinginan kita tanpa kita
berdoa pun? Bukankah Allah SWT mengetahui apa yang terlintas di fikiran kita?
Mengapa kita perlu berdoa lagi kerana bukankah berdoa itu sama sahaja seperti
apa yang ada di dalam hati dan fikiran kita?
Berdoa adalah
memohon dan meminta serta berharap. Pemohon sudah pasti memiliki darjat yang
lebih rendah daripada Pemberi. Begitulah kita dengan Allah SWT. Jelas
menunjukkan kita memerlukan Allah SWT dan memohon pelbagai perkara di dalam
kehidupan kita ini. Darjat kita terlalu jauh malah amat jauh sehinggakan
langsung tiada darjat atau juga sebenarnya tidak boleh membuat perbandingan
langsung berbanding kebesaran Allah SWT.
Berdoa itu
merendahkan darjat kita sehingga daripada kita rasa ada apa-apa kepada tiada
apa-apa langsung. Kita meletakkan diri kita benar-benar berada di bawah. Kita
memohon dan berharap sesuatu daripada Allah SWT. Dengan berdoa kita lebih jelas
siapa kita dan kepada siapa kita memohon. Kita sedar kedudukan kita dan kita
sedar kedudukan Allah SWT. Kita sedar kita hanyalah hamba ciptaan Allah SWT dan
Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Besar.
Namun persoalan
besar di sini adalah adakah kita benar-benar SEDAR dan merasakan sebenarnya
kita ini hamba yang lemah? atau sekadar tahu?
Doa memerlukan KESEDARAN.
Apabila kita berdoa
tanpa memiliki KESEDARAN yang kita ini lemah di sisi Allah SWT, kita tetap ego
dan berasa hebat di sisi Allah SWT. Kita memohon tetapi permohonan kita tidak
diserahkan kepada Allah SWT. Segala keinginan yang kita inginkan adalah
sepenuhnya mengikut kehendak kita seluruhnya dan kita tidak dapat menerima
kehendak Allah SWT. Lalu di dalam tidak sedar kita menganggap Allah SWT
hanyalah sebagai Tuhan melakukan kerja untuk menunaikan segala kehendak kita.
Apabila kita
berdoa, kita menyatakan keinginan kita kepada Allah SWT dengan penuh KESEDARAN
yang kita ini lemah, bodoh, tidak berdaya dan benar-benar mengharapkan
pertolongan Allah SWT. Tetapi dalam masa yang sama kita sedia menerima segala
ketentuan yang Allah SWT tetapkan. Kita juga akan terus mengikut segala
ketetapan yang Allah SWT perintahkan kepada kita. Maka kita benar-benar akan
berserah secara total kepada Allah SWT.
Orang yang beriman
itu tidak pernah kecewa kerana sentiasa menerima ketentuan Allah SWT dan tidak
pernah putus asa di dalam mengikut ketetapan yang Allah SWT tetapkan. Orang
yang beriman sentiasa aktif. Melakukan segala kerja dan berusaha melakukannya
sebaik mungkin di atas nama Allah SWT. Urusan rezeki dan segala penyelesaian
hidup adalah hak Allah SWT yang kita tidak boleh pertikaikan kerana ia bukan
hak kita.
Di dalam masa yang
sama juga, kita yakin dan prasangka baik dengan Allah SWT bahawa Allah SWT akan
memakbulkan segala permintaan kita. Kita sangat yakin dengan kehendak Allah SWT
di mana kehendak Allah SWT merupakan ketentuan yang terbaik di sisiNya untuk
diri kita.
Bagaimana untuk
yakin? Kita perlu mencapai kesedaran. Apabila kita berada di dalam KESEDARAN,
pasti kita sangat yakin,
Memiliki kesedaran ini perlu dilatih. Ia tidak mampu dimiliki secara terus
tetapi mampu dimiliki seawal latihan. Ia akan terus meningkat tanpa henti dan
penghujung. Kesedaran ini ada turun naiknya tetapi apabila kita sudah mencapai
ke satu tahap, ia akan tersimpan di dalam minda bawah sedar kita dan mudah
untuk dicapai kembali jika kesedaran
kita menurun.
Semoga kesedaran
kita akan hal Allah SWT (sifat dan perbuatan Allah SWT) sentiasa meningkat dari
masa ke semasa dan menjadikan kita benar-benar merasai kehidupan hidup berTuhan
yang dikehendaki Allah SWT yang mana akan membawa kepada kejayaan dunia dan
akhirat seperti yang telah Allah SWT janjikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan