Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik
jari anda yang lima. Cuba perhatikan perlahan-lahan jari anda. Kemudian,
genggam ia kuat-kuat dan angkatkan ke atas. Laungkan ... "Allahu
Akbar" sekuat-kuatnya. Itulah Rukun Islam yang mesti dijunjung. Luruskan
ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu
jangan diabaikan.
Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan. Bermula
daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja
akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. Itulah fitrah
insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada
kecil. Bak kata pepatah "melentur buluh biarlah daripada rebungnya".
Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.
Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya. Begitu juga
dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi
kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak
terkira.. pada ketika ini, alam remaja menjengah diri. Awas!! Di usia ini
sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan taqwa
menunjuk jalan kebenaran. Pada usia ini, anda sudah baligh dan mukalaf.
Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil.
Bersediakah anda??
Nah... naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, jari
hantu namanya.Zaman remaja ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di
peringkat umur 30-an ini seorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan
ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, anda mesti berhati-hati
kerana di kala ini banyak "hantu-hantu pengacau" yang datang
menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu
macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap
nafsu dan syaitan. Jesteru itu, amal ibadat mesti dilipatgandakan.
Kita beralih kepada jari telunjuk. Jari inilah yang mengungkap
satu dan esanya Allah SWT ketika solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan
jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia
yang berada di tahap usia ini, hendaklah tampil sebagai model kepada generasi
baru dan pembimbing yang kaya dengan idea
bernas dan minda yang hebat.
Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi
menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan
sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara. Bak kata orang Jawa "cap
jempol" atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. Buat
generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Sekiranya
petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata "good" atau
"yes" sambil menggengam semua jari dan angkat ibu jari ke atas itulah
rahsia kejayaan anda.
Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima.
Renung dan fikir dalam-dalam. Dimanakah anda sekarang?
Wallahualam….
vf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan