Jatuh cinta, tiba-tiba
sahaja membuatkan hidup berubah. Hidup tiba-tiba menjadi warna-warni. Cara
berfikir, merasa dan melihat bertukar. Segala-galannya jadi indah. Nikmat dan
menyeronokan.
Mengapa kita jatuh cinta?
Sebenarnya kesediaan untuk bercinta ada pada setiap orang. Keadaan ini berlaku
apabila dalam diri kita berlaku dua dorongan:
( 1 ) kita mengalami perasaan inginkan cinta. Ertinya pada ketika itu
kenikmatan hubungan yang bermakna tidak kita perolehi. Kita tidak bahagia
dengan kehidupan pada waktu itu. Lalu jika ada insan yang menyintai kita, maka
hasrat yang selama ini beku tiba-tiba sahja mengalir memenuhi
keperluan-keperluan cinta kita.
( 2 ) untuk jatuh cinta kita haruslah bertemu dengan orang yang mampu memenuhi
citarasa kita. Dalam hal ini sekiranya keperluan-keperluan asas kehidupan
seperti kasih sayang, status, seks dan wang masih belum mencukupi, kita tidak
cerewet untuk jatuh cinta. Tetapi bila semua itu sudah ada, kita akan memilih.
Memilih mengikut keperluan-keperluan khusus yang kita kehendaki.
Dalam situasi kita memerlukan cinta, tiba-tiba bila muncul seseorang dalam
hidup kita, emosi kita akan mengalami perubahan secara mendadak. Pelbagai
perasaan dan nafsu yang kuat dan mendalam akan tertumpu pada orang itu. Hidup
kita tiba-tiba menjadi seronok. Asyik. Tembok emosi kita pecah. Cinta
mencurah-curah. Keperluan yang selama ini kita idamkan tiba-tiba mendesak agar
dipenuhi. Lalu kita percaya orang yang kita cintai itu dapat memenuhi segala
keinginan dan keperluan kita. Pada saat ini, kita seperti terhumban ke jurang
yang maha dalam. Kita tidak mampu menahannya. Kita tiba-tiba sahaja gagal
menguasai diri. Segala-galanya tertumpu pada insan yang kita cintai itu.
Entah mengapa! Entah mengapa kita tidak ketahui. Insan itu semacam mengoda-goda
kita. Kita mabuk. Perasaan kita tidak dapat dikawal lagi. Fikiran dan perasan
sering bertempur. Sengit. Tapi fikiran sering kali tertewas oleh perasaan. Kita
jadi keliru. Gagal membezakan antara godaan dan cinta. Pada kita kedua-duanya
sama. Kedua-duanya serupa. Akal fikiran kita tidak mampu menilai dan
membezakannya.
Dalam percintaan, kebimbangan utama yang sering dialami ialah takut kehilangan
cinta, atau takut tidak mendapat cinta sepenuhnya. Akibatnya lahirlah rasa
cemburu. Kita mula kurang yakin dengan diri sendiri. Kita berasa semua tidak
selamat. Kita berasa amat terancam sekali.
Memang kita tahu, orang yang kita cintai boleh meninggalkan kita bila-bila
masa. Dia boleh mendapatkan orang lain yang lebih hebat daripada kita juga
bila-bila masa. Sesungguhnya tiada pengalaman lain yang paling menyayat, pilu
dan menyakitkan selain daripada pengalaman ditinggalkan oleh orang yang kita
cintai begitu saja. Kepedihan itu boleh membunuh seluruh semangat kita
meneruskan kehidupan ini. Kita bimbang perkara itu akan terjadi pada diri kita.
Kita jadi serba salah. Tidak berdaya. Akibatnya kita semakin bergantung emosi
padanya. Kita amat mengharapkan cintanya.
Jatuh cinta menjadikan kita seperti gila. Kita akan terlalu berhati-hati dan
teliti membaca perasaan orang yang kita cintai. Kita tiba-tiba menjadi pakar
penafsir percakapan dan gerak gerinya. Kita kerap tidak mempedulikan apa yang
kita lihat dan dengar. Kita anggap itu fitnah. Tetapi bila cinta kita berakhir
dengan kegagalan barulah kita sedar. Barulah kita dapat menerima hakikat,
bahawa sejak awal-awal lagi sudah nampak tanda-tanda negatif tapi waktu itu
kita tidak hiraukan. Kita dibutakan oleh cinta kita padanya.
Bila kita dilanda cinta, kita sering mengawasi perlakuan dan tindak-tanduk
orang yang kita cintai. Kita sentiasa menghitung dan mencatat berapa lama dia
tidak menelefon, bila kali terakhir dia datang, apa yang dia kata, apa yang dia
buat dan pelbagai lagi. Kita menjadi lebih peka. Lebih tajam mengesan
tanda-tanda samada dia semakin mencintai kita atau semakin menjauhkan diri dari
kita. Semuanya kita perhati dan fikirkan.
Begitupun pandangan kita hanya lebih peka dan tajam kalau kita belum
benar-benar menyerahkan hati kita kepadanya. Dalam keadaan yang belum lagi
rapat, jika kita nampak ada tanda-tanda dia mahu mengundurkan diri, kita akan
segera memutuskan hubungan itu supaya tidak terlalu kecewa. Kita boleh memujuk
hati untuk menyatakan bukan dia yang meninggalkan kita. Tetapi bila cinta kita
begitu mendalam dan nampak ada tanda-tanda dia akan mengundurkan diri, kita
tidak akan cuba memutuskan hubungan itu. Malah kita akan menyintainya dengan
lebih gila-gila lagi.
Dalam keadaan emosi yang begini, kita cuba sedaya upaya menguasai tindak-tanduk
orang yang kita cintai. Pelbagai daya penarik kita gunakan. Kita mahu jadikan
diri kita orang yang paling menarik, unggul dan anggun dimatanya. Kita
melakukan bermacam-macam cara supaya kita kelihatan elok pada pandangannya.
Cara menyikat rambut kita ubah. Fesyen pakaian kita ubah. Kaca mata, kasut dan
apa saja kita akan ubah asalkan kita kelihatan amat sempurna dan menarik
dimatanya.
Bukan setakat itu saja, malah kita akan memberi perhatian yang lebih dan
mendalam apa yang dia suka dan kita tunjukkan padanya, kita suka apa yang dia
suka. Kita berminat dengan kerjanya, hobinya dan apa saja kesukaannya. Dan pada
masa ini semua warna diri kita kita tukar sesuai dengan warna kesukaannya. Kita
berharap dia dapat melihat kita sebagai orang yang paling sesuai dan memenuhi
keperluannya.
Pada masa ini juga kita akan cuba mengoda dan menambat hati orang yang kita
cintai itu dengan cara menutup atau membuang perangai buruk yang ada pada diri
kita. Kalau dulu kita malas berkemas, tiba-tiba kita jadi rajin berkemas. Kita
pandai bergurau senda. Kita boleh ketawa. Mendengar masalahnya. Kita boleh
bertolak ansur. Kita mudah menyetujui pandangan dan pendapatnya. Kita tidak
banyak meminta daripadanya. Kita akan menjadi manusia yang tidak cerewet pada
masa itu.
Kalau sebelumnya kita sangat berhati-hati berbelanja, tetapi bila jatuh cinta
otak kita menjadi kelam-kabut. Urusan-urusan yang tidak mustahak dahulunya
menjadi urusan besar. Yang dahulunya tidak penting kini menjadi amat penting.
Dan yang penting kita perlu menarik minat orang yang kita cintai. Jadi bukan
sesuatu yang aneh pada masa ini kita suka memberikan pelbagai pemberian berupa
hadiah dan tanda mata. Pemberian itu bisanya pula berharga, romantik dan
sentimental. Kita mengharapkan dengan pemberian itu dia membalasnya dengan
memberikan cintanya pada kita. Kita menjadikan amat pemurah sekali. Tidak
kedekut. Malah kita menjadi orang yang sangat budiman dan dermawan.
Kita lakukan semua itu agar cinta kita terjamin. Kita tidak dikecewakan. Orang
yang kita cintai tidak lari begitu saja. Tidak meninggalkan kita. Kita sedaya
upaya cuba membuat dia terpukau oleh sifat-sifat palsu kita. Pada kita, usaha
dan tipu daya yang kita lakukan adalah sesuatu yang normal dan perlu dilakukan.
Kepalsuan dan kepura-puraan kita itu adalah usaha untuk menakluki hati dan
perasaan orang yang kita cintai. Dan setelah kita yakin cintanya berjaya kita
tawan dan kuasai kita akan kembali siuman. Normal seperti biasa.
Kuasa! Dalam hidup ini, kita mahukan kuasa. Cuma kita tidak mahu mengakuinya.
Ini termasuklah dalam soal-soal percintaan. Tapi kita menafikannya kerana
perilaku itu dianggap negatif. Sebenarnya keinginan berkuasa dan cinta adalah
perkara biasa. Secara normal biasanya kita lakukan dengan perkara-perkara
positif seperti dedikasi dan layanan yang baik. Tapi adakalanya usaha yang kita
lakukan begitu negatif. Kita sanggup melakukan ancaman dan menggunakan bomoh
untuk mendapatkan cinta itu.
Apabila kita menggunakan cara-cara negatif kita sebenarnya berusaha menguasai
pasangan kita. Sebalinya apabila kita menggunakan perkara-perkara positif kita
sebenarnya cuba menguasai faktor-faktor emosi yang ujud disekeliling kita untuk
memenuhi keperluan-keperluan kita dengan sebanyak-banyaknya. Kita cuba memikat
hati pasangan kita seerat-eratnya agar dengan demikian kehadiran dirinya
melengkapkan lagi kehadiran diri kita.
Dalam diri manusia ini ada perkara-perkara yang disukai dan dibenci. Pengalaman
hidup mengajar kita tentang itu. Kita juga tahu orang yang bagaimana kita
perlukan untuk memenuhi keinginan lahir batin kita. Kerana itu kita mula
belajar mengasuh diri. Kita ingin memiliki sifat-sifat sesempurna mungkin
seperti penampilan yang menarik, kebijaksanaan, pengetahuan, berjaya dalam
bidang pekerjaan, bakat dan keseksian.
Dalam hal ini penampilan amat penting. Faktor penampilan menjadi faktor terkuat
untuk membuat seseorang tertarik pada kita. Adanya faktor ini membuatkan kita
yakin pada diri sendiri untuk menarik perhatian orang sekeliling kita. Kajian
menunjukan kejelitaan atau ketampanan penting pada peringkat awal perkenalan.
Dan selepas itu baru faktor-faktor lain yang disebut tadi menjadi penting.
Bagaimanapun faktor penampilan sebenarnya tidak berjaya mengekalkan cinta itu.
Ia bersifat sementara. Cinta yang berpanjangan ditentukan oleh ciri-ciri
positif keperibadian kita seperti kemesraan, keghairahan hidup, simpati,
kesopanan, kejujuran, kepintaran, keyakinan diri dan kreativiti. Inilah
ciri-ciri yang dapat meninggi atau merendahkan daya kuasa diri untuk memikat
orang yang kita kasihi.
Pasangan yang sama-sama memiliki kuasa tarikan yang sama kuat terhadap satu
sama lain, akan berasa seolah-olah ada semacam 'cinta pandang pertama' dari
awal perkenalan mereka. Tetapi satu hal yang sering terjadi, daya kuasa tarikan
ini tidak kekal. Ada masa menurun dan ada masanya menaik. Kalau kita lebih menyintai
seseorang, ini bermakna orang itu mempunyai daya kuasa tarikan yang kuat
daripada kita. Dan begitu juga sebaliknya.
Ketidakseimbangan daya kuasa tarikan cinta boleh menyebabkan kita kehilangan
cinta yang kita ingini. Pihak yang mempunyai daya tarikan rendah akan merasa
dirinya sangat menyintai pasangannya. Manakala pihak yang merasa kuasa
tarikannya tinggi akan merasa dia kurang menyintai pasangannya. Makanya di sini
kiranya lelaki merasakan kuasa tarikannya rendah, dia akan berasa serba
kekurangan. Dia berasa dirinya tidak tampan dan tidak sepadan dengan perempuan
itu. Dia mula resah. Serba salah. Mula berasa takut dia akan kehilangan orang
yang dikasihi. Dia juga berasa tidak mampu menandingi lelaki-lelaki lain. Dia
menganggap dirinya serba kekurangan.
Dalam keadaan beginilah si lelaki mula berasa cintanya pada perempuan itu
bertambah. Dia akan berusaha untuk membuktikan
cintanya. Dia sedia melakukan apa saja asal si perempuan itu terus
menyintainya. Kadang-kadang usaha yang dibuatnya secara terbuka sehingga dapat
dilihat dengan jelas oleh orang lain. Si lelaki mahu sentiasa berada bersama si
perempuan tersebut. Si lelaki mahu membuat itu dan ini bagi perempuan tersebut.
Si lelaki takut jika dia tidak ada, akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.
Dia takut si perempuan digoda oleh lelaki lain.
Tindakannya ini membuatkan si perempuan mula berasa dirinya diikat, dikongkong
dan dicemburui. Si perempuan mula berasa cinta si lelaki itu merimaskan.
Menyesakkan. Malah dia mungkin bingung kerana tidak faham mengapa dia
dicemburui sedangkan dia tidak ada apa-apa hubungan dengan lelaki lain. Dan
bila keadaan ini berlaku, kemungkinan cinta si perempuan mulai berkurangan pada
lelaki tersebut. Si perempuan kemungkinan berasa cinta yang membuak-buak daripada
lelaki itu sesuatu yang tidak menghairahkan. Si perempuan kini berasa begitu
yakin akan cinta si lelaki itu padanya. Keyakinan itu menyebabkan si perempuan
menjadi sangat berkuasa dalam menentukan
arah cinta mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan