Misalnya, seorang
suami yang memang tiada apa-apa skandal di luar, jika isterinya tidak
habis-habis melemparkan kata-kata curiga, dia boleh bertindak betul seperti apa
yang dikatakan oleh isterinya itu. "Aku jujur pun isteri aku kata aku tak
jujur. Baiklah aku tak payah jujur". Dikhuatiri kata-kata begini mula
terdapat di dalam hatinya. Dia mungkin tidak bertindak songsang pada waktu
terdekat, tetapi apabila titik hitam mula terbentuk di hatinya lambat laun, ia
mungkin terjadi.
Begitu juga seorang
lelaki jujur dalam kategori tunang ataupun teman. Orang jujur memang tidak
patut dicurigai. Sebenarnya bukan orang jujur saja, siapa pun tidak suka jika
dia dikatakan tidak baik, meskipun dia memang tidak baik. Jadi, cuba bayangkan
perasaan seorang yang baik tetapi asyik dicurigai.
Persoalannya
bagaimanakah hendak mengenali lelaki baik? Memang sukar namun kita perlu
berpegang pada satu-satu prinsip untuk dijadikan panduan. Kita boleh kata tak
semestinya begitu dan tak semestinya begini, tapi jika kita terus berkata
begitu, kita tidak akan mencapai kesudahan. Kita akan menjadi seorang jurutikai
dan tiba-tiba tanpa kita sedar dia sudah pun meninggalkan kita kerana tidak
tahan dengan kerenah kita.
Oleh itu, jadikan
apa yang akan saya paparkan di bawah ini sebagai panduan saja. Tidak semestinya
betul, harus salah. Lelaki itu jujur jika:
1. Dia seorang yang
cemerlang dalam usaha yang dilakukannya. Tidak semestinya betul tetapi kita
boleh berpegang lelaki yang sibuk membina kecemerlangan diri memang tidak
sempat untuk membina cinta-cinta palsu. Mana mungkin seorang yang sibuk
menguruskan perniagaan ataupun tekun melakukan kerjanya ataupun seorang pelajar
yang sibuk menelaah ada masa untuk mempermainkan wanita.
2. Dia seorang yang
kuat pengamalan agamanya. Tidak semestinya betul sebab orang yang kuat
beribadah pun tidak terlepas daripada godaan syaitan, malah semakin besar
serbannya semakin besar pula syaitannya. Namun, tentulah lebih ramai yang
sempurna hasil kuat peribadahan agamanya berbanding yang ambil tidak peduli dengan
agamanya.
3. Dia seorang yang
amat mengambil berat tentang keluarganya. Seorang lelaki yang baik pasti
seorang yang amat disenangi oleh seluruh ahli keluarganya.Tumpuannya pada
kerjaya, keluarga dan TUHAN.
Gabungan
ketiga-tiga aspek ini menjadikan seseorang lelaki itu sempurna. Dia sudah tentu
tidak punya masa untuk menjalin hubungan-hubungan luar biasa sebab kesibukannya
bersama kerjaya, keluarga dan TUHAN.
Kerjaya
menjadikannya seorang yang sibuk untuk mengejar matlamat, keluarga sandarannya
untuk menjadi seorang penyayang dan bertanggungjawab. TUHAN pula menjadi
pengharapannya demi kehidupan yang lebih baik dan sempurna serta kekal abadi.
Apakah anda fikir seorang lelaki yang mempunyai tiga aspek begini masih patut
dicurigai?
Ramai wanita
akhirnya ditinggalkan kerana terlalu prasangka, menyangka yang bukan-bukan
serta merangsang suami dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas. Nasihat saya,
berilah kepercayaan padu kepada suami anda selagi belum terbukti sesuatu.
Selagi ia berlegar dalam pemikiran ia tidak perlu dilayan.
Selamat membina
perhubungan intim dan jadilah orang yang ceria serta bahagia sepanjang hidup
kita. Saling mempercayai lebih bagus daripada saling mencurigai.
Wallahualam...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan