Ahad, 11 Julai 2010

Awasi Jenayah Siber, Kata Trend Micro

Oleh Farazira Amira Yusof

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Pengguna Intenet, AWAS! Jangan memuat turun perisian dan aplikasi yang tidak diketahui, dan jangan sesekali membuka lampiran daripada penghantar yang tidak dikendali. Juga berhati-hati semasa melakukan transaksi dalam talian.

Yang penting, dalam era teknologi baharu, dengan jumlah transaksi dalam talian semakin meningkat dalam ruang siber, pengguna Internet perlu terus berada di hadapan berbanding penjenayah siber.

Nasihat ini diberikan oleh Anthony Ung, pengurus negara Asia Tenggara bagi rangkaian antivirus dan pakar keselamatan kandungan Trend Micro Incorporated.

"Memandangkan sumber Internet tidak diketahui, sesiapa sahaja boleh melakukan apa sahaja dalam talian, daripada membeli-belah sehinggalah membayar bil, berhubung dengan rakan dan keluarga, malah melakukan transaksi perniagaan.

"Anda tidak perlu membuktikan siapa anda selagi anda mempunyai nombor kad kredit, nombor pengenalan dan kata laluan, anda boleh membeli dan memuat turun apa sahaja," katanya kepada Bernama pada temu bual baru-baru ini.

Ung berkata pencuri identiti atau "phishing" dan isu keselamatan komputer yang lain yang boleh menjejaskan reputasi anda, perlu diawasi.

Mencuri identiti sebagai contoh, memain peranan penting dalam penipuan cukai dengan mangsa ditipu untuk mendedahkan maklumat pribadi, yang kemudiannya digunakan untuk mencuri akaun bank, membuat pembayaran menggunakan kad kredit serta memohon pinjaman menggunakan nama mangsa, katanya.

"Penjenayah siber ini mewujudkan laman web palsu seiras laman web asli. Sebagai contoh, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Berbanding alamat e-mel sebenar, irb.com, penjenayah siber menggunakan 1rb.com. Ini berlaku terutama apabila tarikh akhir mengemukakan cukai pendapatan semakin dekat.

"Apabila anda tergesa-gesa mengemukakan cukai pendapatan, anda tidak menyedari "i" telah ditukar kepada "l", anda hanya klik, masukan kata laluan dan nombor pengenalan dan mengisi maklumat lalu menghantarnya. Anda menyangkakan fail anda sudah dihantar, namun sebenarnya ia dihantar ke laman web lain. Kami memanggilnya "serangan bersepadu," katanya.

Ung berkata kebanyakan orang masih tidak menyedari penjenayah siber menggunakan e-mel dan laman web palsu untuk mencuri wang dan identiti.

Beliau berkata laman rangkaian sosial sangat popular di kalangan penjenayah siber untuk menipu orang ramai supaya memdedahkan maklumat atau memuat turun perisian ke dalam komputer mereka.

"Sebagai contoh, Facebook, google atau e-mel yahoo. Setiap kali anda menaip kata laluan dan pengenalan, penjenayah siber turut masuk dan apabila komputer tidak digunakan atau tidak sibuk, mereka memasuki akaun anda dan melihat maklumat yang ada dan menggunakannya untuk tujuan lain dan berpura-pura menjadi anda.

Penipuan e-mel juga berlaku. Anda mungkin menerima e-mel yang menyatakan anda menang loteri atau anda dipilih secara rawak memenangi hadiah. Mereka mahu anda membayar pendahuluan bagi memenangi hadiah itu dan yang pastinya, anda tidak akan menerima hadiah yang kononnya anda menangi itu," katanya.

Bagi membendung penipuan dalam talian, Ung berkata pengguna Internet dinasihatkan supaya menukar nombor pengenalan dan kata laluan setiap bulan, berhenti daripada membaca mel yang tidak diundang (scam) yang cuba menembusi dinding pelindung dengan menghantar imej dan bukan sekadar teks, dan pertahankan maklumat peribadi menggunakan teknologi anti-spyware.

Di Trend Micro, katanya syarikat itu memperkenalkan penyelesaian yang dikenali sebagai Micro Internet Security Pro 2010, untuk perlindungan menyeluruh terhadap virus, cacing, Trojan dan pengodam. Ia juga mengesan dan memusnahkan spyware dan menyekat spam.

Perisian itu juga termasuk versi dinding pelindung, sistem penala, kunci remote dan perlindungan telefon pintar.

Keseluruhannya perisian ini mudah dipasang dan diguna dan menawarkan perlindungan yang baik semasa melayari Internet.

Trend Micro ialah pemimpin global dengan kepakaran lebih dua dekad dalam keselamatan pemesejan dan web.

Menerusi operasi di lebih 50 negara, syarikat itu memberi tumpuan terhadap menghasilkan penyelesaian keselamatan pintar yang melindungi pelbagai ancaman dan serangan termasuk virus, spam, mencuri maklumat, spyware, botnet, dan serangan Web yang lain, termasuk malware mencuri data.

Pada 2009, Malaysia mencatatkan jualan melebihi US$7 juta bagi operasi Trend Micro Asia Tenggara, kira-kira 20-30 peratus daripada jumlah jualan di rantau ini.

-- BERNAMA