Ahad, 22 Disember 2013

the best SECRET POPIAH JLN BATU 10 LEKIR

           the best SECRET POPIAH. Inilah gerai SECRET POPIAH yang popular terletak di Jalan Batu 10 Lekir, Sitiawan,Perak iaitu berhadapan dengan masjid Batu 10 Lekir. Perniagaan di buka setiap hari mulai jam 3.00 petang sehingga jam 7.00 malam. Sesiapa yang melalui jalan tersebut untuk ke Teluk Batik bolehlah singgah membeli SECRET POPIAH dengan harga yang berpatutan serta kualiti terbaik. Terdapat dua pilihan popiah samada basah atau kering (Digoreng). Pilihan ditangan anda. Yang pasti memang sedap.

Pelanggan menanti dengan penuh sabar
Inilah Gerai the best SECRET POPIAH

Dari jauh anda akan nampak gerai ini jika menghala ke Sitiawan


Pelanggan sempat mengambil kesempatan bergambar kenangan

uummmpphhh...


Tengok pun dah sedap..

Alangkah rugi sekiranya melalui jalan tersebut tanpa singgah membeli SECRET POPIAH. Beliau juga sedia menerima tempahan terutama untuk majlis-majlis utama seperti kenduri dan sebagainya. Selamat membeli dan menikmati SECRET POPIAH Batu 10 Lekir. 
the best SECRET POPIAH. 

# yang baik perlu hebahkan. Wasalamm..

Ahad, 3 November 2013

Final Piala Malaysia 2013 - Kelantan lwn Pahang

Gambar-gambar Sebelum Final Bola Sepak 2013, Kelantan vs Pahang. Dirakam Jam 08.00 pagi sehingga 11.00 pagi

Gerai Jualan T-Shirt Pahang
Pengunjung Yang Datang Seawal Pagi

 Pelbagai Gerai Jualan 

Penguatkuasa Membuat Operasi Merampas T-shirt Yang Bukan Original Jam 10.45pagi

Farhan Memerhati Pengunjung Yang Ramai


Suasana Seawal Pagi

Pengunjung Beratur 
 Majulah sukan untuk negara....

Khamis, 15 Ogos 2013

Indahnya Sedekah


Bersedekahlah
RASULULLAH S.A.W Bersabda: ''Sedekah itu dapat menutup 70 ribu kejahatan''. 


Anas Malik pula meriwayatkan bahawa NABI MUHAMMAD S.A.W ada bersabda yang bermaksud ; 

''Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dia dengan kekayaanmu. Barang siapa yang mempunyai ilmu, maka sedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga bersedekahlah dengan tenaganya''. 

Jumaat, 7 Jun 2013

Cinta Seorang Lelaki

Hiasan
Bila lelaki benar-benar jatuh cinta dan setia pada kekasihnya dengan ikhlas, perubahan sikapnya amat mengejutkan. Hati lelaki yang dianggap keras selama ini, tiba-tiba secara semulajadi menjadi selembut kapas apabila sudah jatuh cinta dengan relanya. Bahkan lelaki yang mabuk cinta sanggup berkorban dan buat apa sahaja untuk kekasihnya. Sekeras manapun hati lelaki ia akan mengalirkan air mata apabila hatinya dilukai. Untuk melihat lelaki menangis amatlah payah. Diantara tanda-tanda lelaki yang jatuh cinta dengan hebat ialah:

1. Dia bersungguh-sungguh melakukan sesuatu untuk kekasihnya dengan rela bukan kerana terpaksa.

2. Dia sentiasa ingin menghiburkan kekasihnya dan berubah menjadi orang yang kuat bercakap.

3. Dia banyak menasihati kekasihnya kerana dia amat menyayangi kekasihnya.

4. Dia berusaha mengongkong kebebasan kekasihnya kerana perasaan cemburunya yang meluap-luap.

5. Dia sentiasa takut kehilangan kekasihnya.

6. Dia sentiasa mengawasi pergerakan kekasihnya kerana dia sentiasa berasa curiga.

7. Dia tidak suka ada lelaki lain rapat dengan kekasihnya.

8. Dia mudah merasa cemburu dan sensitif apabila kekasihnya tidak menumpukan sepenuh perhatian kepadanya.

9. Adakalanya dia seperti seorang anak kecil yang meminta perhatian kerana dia mahu kekasihnya melayannya lebih dari orang lain.

10. Dia menjadi orang yang paling rajin dan sanggup membantu kekasihnya melakukan apa saja.

11. Dia pandai merajuk hati kerana ingin dipujuk oleh kekasihnya.

12. Dia akan mengalabah apabila kekasihnya berjauhan daripadanya terlalu lama.

13. Dia sentiasa memastikan keselamatan kekasihnya.

14. Dia mementingkan kekasihnya daripada dirinya sendiri.

15. Dia kerap bertanya adakah kekasihnya mencintainya kerana dia merasa kasihnya lebih kuat daripada kekasihnya.

16. Dia tidak akan melayan perempuan lain yang tidak ada urusan penting dengannya.

17. Dia cuba meluangkan lebih banyak masa dengan kekasihnya walaupun terpaksa menunggu kekasihnya dengan sabar.

18. Dia membanggakan kekasihnya di depan orang lain.

19. Kalau ditinggalkan oleh kekasihnya, ia akan berasa serik dan tidak percaya dengan cinta perempuan lain namun dia sentiasa mengharap kekasihnya kembali kepadanya.

20. Apabila timbul orang ketiga, dia akan hilang akal dan sanggup berbuat apa saja untuk merebut kembali kekasihnya.

21. Dia menganggap kekasihnya sebagai orang yang paling dipercayainya dan sanggup menyerahkan harta walaupun nyawanya sendiri.

22. Dia tidak akan berlaku curang kepada kekasihnya namun jikalau dia dia berbuat demikian itu bererti hatinya belum 100% mencintai kekasihnya.

23. Bukan semua lelaki sanggup menitiskan airmata hanya untuk seorang perempuan.

HARGAILAH MEREKA..

Ahad, 19 Mei 2013

Kejujuran Lelaki

Lelaki jujur tidak gemar kalau dia dicurigai. Dia juga tidak suka dikatakan sedang menyembunyikan sesuatu. Lelaki jujur biasanya cemerlang dalam pelajaran ataupun pekerjaan. Dia tidak punya masa untuk bermain sembunyi-sembunyi. Dia suka berterus terang dan dia mahu orang mempercayai kata-katanya. Kalau dia dicurigai dia boleh berasa amat kecewa dan boleh bertindak.

Misalnya, seorang suami yang memang tiada apa-apa skandal di luar, jika isterinya tidak habis-habis melemparkan kata-kata curiga, dia boleh bertindak betul seperti apa yang dikatakan oleh isterinya itu. "Aku jujur pun isteri aku kata aku tak jujur. Baiklah aku tak payah jujur". Dikhuatiri kata-kata begini mula terdapat di dalam hatinya. Dia mungkin tidak bertindak songsang pada waktu terdekat, tetapi apabila titik hitam mula terbentuk di hatinya lambat laun, ia mungkin terjadi.
Begitu juga seorang lelaki jujur dalam kategori tunang ataupun teman. Orang jujur memang tidak patut dicurigai. Sebenarnya bukan orang jujur saja, siapa pun tidak suka jika dia dikatakan tidak baik, meskipun dia memang tidak baik. Jadi, cuba bayangkan perasaan seorang yang baik tetapi asyik dicurigai.

Persoalannya bagaimanakah hendak mengenali lelaki baik? Memang sukar namun kita perlu berpegang pada satu-satu prinsip untuk dijadikan panduan. Kita boleh kata tak semestinya begitu dan tak semestinya begini, tapi jika kita terus berkata begitu, kita tidak akan mencapai kesudahan. Kita akan menjadi seorang jurutikai dan tiba-tiba tanpa kita sedar dia sudah pun meninggalkan kita kerana tidak tahan dengan kerenah kita.
Oleh itu, jadikan apa yang akan saya paparkan di bawah ini sebagai panduan saja. Tidak semestinya betul, harus salah. Lelaki itu jujur jika:
1. Dia seorang yang cemerlang dalam usaha yang dilakukannya. Tidak semestinya betul tetapi kita boleh berpegang lelaki yang sibuk membina kecemerlangan diri memang tidak sempat untuk membina cinta-cinta palsu. Mana mungkin seorang yang sibuk menguruskan perniagaan ataupun tekun melakukan kerjanya ataupun seorang pelajar yang sibuk menelaah ada masa untuk mempermainkan wanita.

2. Dia seorang yang kuat pengamalan agamanya. Tidak semestinya betul sebab orang yang kuat beribadah pun tidak terlepas daripada godaan syaitan, malah semakin besar serbannya semakin besar pula syaitannya. Namun, tentulah lebih ramai yang sempurna hasil kuat peribadahan agamanya berbanding yang ambil tidak peduli dengan agamanya.

3. Dia seorang yang amat mengambil berat tentang keluarganya. Seorang lelaki yang baik pasti seorang yang amat disenangi oleh seluruh ahli keluarganya.Tumpuannya pada kerjaya, keluarga dan TUHAN.
Gabungan ketiga-tiga aspek ini menjadikan seseorang lelaki itu sempurna. Dia sudah tentu tidak punya masa untuk menjalin hubungan-hubungan luar biasa sebab kesibukannya bersama kerjaya, keluarga dan TUHAN.
Kerjaya menjadikannya seorang yang sibuk untuk mengejar matlamat, keluarga sandarannya untuk menjadi seorang penyayang dan bertanggungjawab. TUHAN pula menjadi pengharapannya demi kehidupan yang lebih baik dan sempurna serta kekal abadi. Apakah anda fikir seorang lelaki yang mempunyai tiga aspek begini masih patut dicurigai?

Ramai wanita akhirnya ditinggalkan kerana terlalu prasangka, menyangka yang bukan-bukan serta merangsang suami dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas. Nasihat saya, berilah kepercayaan padu kepada suami anda selagi belum terbukti sesuatu. Selagi ia berlegar dalam pemikiran ia tidak perlu dilayan.

Selamat membina perhubungan intim dan jadilah orang yang ceria serta bahagia sepanjang hidup kita. Saling mempercayai lebih bagus daripada saling mencurigai.

Wallahualam...

Isnin, 15 April 2013

Mengapa Kita Jatuh Cinta?


Jatuh cinta, tiba-tiba sahaja membuatkan hidup berubah. Hidup tiba-tiba menjadi warna-warni. Cara berfikir, merasa dan melihat bertukar. Segala-galannya jadi indah. Nikmat dan menyeronokan. 


Mengapa kita jatuh cinta? 
Sebenarnya kesediaan untuk bercinta ada pada setiap orang. Keadaan ini berlaku apabila dalam diri kita berlaku dua dorongan: 

( 1 ) kita mengalami perasaan inginkan cinta. Ertinya pada ketika itu kenikmatan hubungan yang bermakna tidak kita perolehi. Kita tidak bahagia dengan kehidupan pada waktu itu. Lalu jika ada insan yang menyintai kita, maka hasrat yang selama ini beku tiba-tiba sahja mengalir memenuhi keperluan-keperluan cinta kita. 

( 2 ) untuk jatuh cinta kita haruslah bertemu dengan orang yang mampu memenuhi citarasa kita. Dalam hal ini sekiranya keperluan-keperluan asas kehidupan seperti kasih sayang, status, seks dan wang masih belum mencukupi, kita tidak cerewet untuk jatuh cinta. Tetapi bila semua itu sudah ada, kita akan memilih. Memilih mengikut keperluan-keperluan khusus yang kita kehendaki. 

Dalam situasi kita memerlukan cinta, tiba-tiba bila muncul seseorang dalam hidup kita, emosi kita akan mengalami perubahan secara mendadak. Pelbagai perasaan dan nafsu yang kuat dan mendalam akan tertumpu pada orang itu. Hidup kita tiba-tiba menjadi seronok. Asyik. Tembok emosi kita pecah. Cinta mencurah-curah. Keperluan yang selama ini kita idamkan tiba-tiba mendesak agar dipenuhi. Lalu kita percaya orang yang kita cintai itu dapat memenuhi segala keinginan dan keperluan kita. Pada saat ini, kita seperti terhumban ke jurang yang maha dalam. Kita tidak mampu menahannya. Kita tiba-tiba sahaja gagal menguasai diri. Segala-galanya tertumpu pada insan yang kita cintai itu. 

Entah mengapa! Entah mengapa kita tidak ketahui. Insan itu semacam mengoda-goda kita. Kita mabuk. Perasaan kita tidak dapat dikawal lagi. Fikiran dan perasan sering bertempur. Sengit. Tapi fikiran sering kali tertewas oleh perasaan. Kita jadi keliru. Gagal membezakan antara godaan dan cinta. Pada kita kedua-duanya sama. Kedua-duanya serupa. Akal fikiran kita tidak mampu menilai dan membezakannya. 

Dalam percintaan, kebimbangan utama yang sering dialami ialah takut kehilangan cinta, atau takut tidak mendapat cinta sepenuhnya. Akibatnya lahirlah rasa cemburu. Kita mula kurang yakin dengan diri sendiri. Kita berasa semua tidak selamat. Kita berasa amat terancam sekali. 
Memang kita tahu, orang yang kita cintai boleh meninggalkan kita bila-bila masa. Dia boleh mendapatkan orang lain yang lebih hebat daripada kita juga bila-bila masa. Sesungguhnya tiada pengalaman lain yang paling menyayat, pilu dan menyakitkan selain daripada pengalaman ditinggalkan oleh orang yang kita cintai begitu saja. Kepedihan itu boleh membunuh seluruh semangat kita meneruskan kehidupan ini. Kita bimbang perkara itu akan terjadi pada diri kita. Kita jadi serba salah. Tidak berdaya. Akibatnya kita semakin bergantung emosi padanya. Kita amat mengharapkan cintanya. 

Jatuh cinta menjadikan kita seperti gila. Kita akan terlalu berhati-hati dan teliti membaca perasaan orang yang kita cintai. Kita tiba-tiba menjadi pakar penafsir percakapan dan gerak gerinya. Kita kerap tidak mempedulikan apa yang kita lihat dan dengar. Kita anggap itu fitnah. Tetapi bila cinta kita berakhir dengan kegagalan barulah kita sedar. Barulah kita dapat menerima hakikat, bahawa sejak awal-awal lagi sudah nampak tanda-tanda negatif tapi waktu itu kita tidak hiraukan. Kita dibutakan oleh cinta kita padanya. 

Bila kita dilanda cinta, kita sering mengawasi perlakuan dan tindak-tanduk orang yang kita cintai. Kita sentiasa menghitung dan mencatat berapa lama dia tidak menelefon, bila kali terakhir dia datang, apa yang dia kata, apa yang dia buat dan pelbagai lagi. Kita menjadi lebih peka. Lebih tajam mengesan tanda-tanda samada dia semakin mencintai kita atau semakin menjauhkan diri dari kita. Semuanya kita perhati dan fikirkan. 

Begitupun pandangan kita hanya lebih peka dan tajam kalau kita belum benar-benar menyerahkan hati kita kepadanya. Dalam keadaan yang belum lagi rapat, jika kita nampak ada tanda-tanda dia mahu mengundurkan diri, kita akan segera memutuskan hubungan itu supaya tidak terlalu kecewa. Kita boleh memujuk hati untuk menyatakan bukan dia yang meninggalkan kita. Tetapi bila cinta kita begitu mendalam dan nampak ada tanda-tanda dia akan mengundurkan diri, kita tidak akan cuba memutuskan hubungan itu. Malah kita akan menyintainya dengan lebih gila-gila lagi. 

Dalam keadaan emosi yang begini, kita cuba sedaya upaya menguasai tindak-tanduk orang yang kita cintai. Pelbagai daya penarik kita gunakan. Kita mahu jadikan diri kita orang yang paling menarik, unggul dan anggun dimatanya. Kita melakukan bermacam-macam cara supaya kita kelihatan elok pada pandangannya. Cara menyikat rambut kita ubah. Fesyen pakaian kita ubah. Kaca mata, kasut dan apa saja kita akan ubah asalkan kita kelihatan amat sempurna dan menarik dimatanya. 

Bukan setakat itu saja, malah kita akan memberi perhatian yang lebih dan mendalam apa yang dia suka dan kita tunjukkan padanya, kita suka apa yang dia suka. Kita berminat dengan kerjanya, hobinya dan apa saja kesukaannya. Dan pada masa ini semua warna diri kita kita tukar sesuai dengan warna kesukaannya. Kita berharap dia dapat melihat kita sebagai orang yang paling sesuai dan memenuhi keperluannya. 

Pada masa ini juga kita akan cuba mengoda dan menambat hati orang yang kita cintai itu dengan cara menutup atau membuang perangai buruk yang ada pada diri kita. Kalau dulu kita malas berkemas, tiba-tiba kita jadi rajin berkemas. Kita pandai bergurau senda. Kita boleh ketawa. Mendengar masalahnya. Kita boleh bertolak ansur. Kita mudah menyetujui pandangan dan pendapatnya. Kita tidak banyak meminta daripadanya. Kita akan menjadi manusia yang tidak cerewet pada masa itu. 

Kalau sebelumnya kita sangat berhati-hati berbelanja, tetapi bila jatuh cinta otak kita menjadi kelam-kabut. Urusan-urusan yang tidak mustahak dahulunya menjadi urusan besar. Yang dahulunya tidak penting kini menjadi amat penting. Dan yang penting kita perlu menarik minat orang yang kita cintai. Jadi bukan sesuatu yang aneh pada masa ini kita suka memberikan pelbagai pemberian berupa hadiah dan tanda mata. Pemberian itu bisanya pula berharga, romantik dan sentimental. Kita mengharapkan dengan pemberian itu dia membalasnya dengan memberikan cintanya pada kita. Kita menjadikan amat pemurah sekali. Tidak kedekut. Malah kita menjadi orang yang sangat budiman dan dermawan. 

Kita lakukan semua itu agar cinta kita terjamin. Kita tidak dikecewakan. Orang yang kita cintai tidak lari begitu saja. Tidak meninggalkan kita. Kita sedaya upaya cuba membuat dia terpukau oleh sifat-sifat palsu kita. Pada kita, usaha dan tipu daya yang kita lakukan adalah sesuatu yang normal dan perlu dilakukan. Kepalsuan dan kepura-puraan kita itu adalah usaha untuk menakluki hati dan perasaan orang yang kita cintai. Dan setelah kita yakin cintanya berjaya kita tawan dan kuasai kita akan kembali siuman. Normal seperti biasa. 

Kuasa! Dalam hidup ini, kita mahukan kuasa. Cuma kita tidak mahu mengakuinya. Ini termasuklah dalam soal-soal percintaan. Tapi kita menafikannya kerana perilaku itu dianggap negatif. Sebenarnya keinginan berkuasa dan cinta adalah perkara biasa. Secara normal biasanya kita lakukan dengan perkara-perkara positif seperti dedikasi dan layanan yang baik. Tapi adakalanya usaha yang kita lakukan begitu negatif. Kita sanggup melakukan ancaman dan menggunakan bomoh untuk mendapatkan cinta itu. 

Apabila kita menggunakan cara-cara negatif kita sebenarnya berusaha menguasai pasangan kita. Sebalinya apabila kita menggunakan perkara-perkara positif kita sebenarnya cuba menguasai faktor-faktor emosi yang ujud disekeliling kita untuk memenuhi keperluan-keperluan kita dengan sebanyak-banyaknya. Kita cuba memikat hati pasangan kita seerat-eratnya agar dengan demikian kehadiran dirinya melengkapkan lagi kehadiran diri kita. 

Dalam diri manusia ini ada perkara-perkara yang disukai dan dibenci. Pengalaman hidup mengajar kita tentang itu. Kita juga tahu orang yang bagaimana kita perlukan untuk memenuhi keinginan lahir batin kita. Kerana itu kita mula belajar mengasuh diri. Kita ingin memiliki sifat-sifat sesempurna mungkin seperti penampilan yang menarik, kebijaksanaan, pengetahuan, berjaya dalam bidang pekerjaan, bakat dan keseksian. 

Dalam hal ini penampilan amat penting. Faktor penampilan menjadi faktor terkuat untuk membuat seseorang tertarik pada kita. Adanya faktor ini membuatkan kita yakin pada diri sendiri untuk menarik perhatian orang sekeliling kita. Kajian menunjukan kejelitaan atau ketampanan penting pada peringkat awal perkenalan. Dan selepas itu baru faktor-faktor lain yang disebut tadi menjadi penting. Bagaimanapun faktor penampilan sebenarnya tidak berjaya mengekalkan cinta itu. Ia bersifat sementara. Cinta yang berpanjangan ditentukan oleh ciri-ciri positif keperibadian kita seperti kemesraan, keghairahan hidup, simpati, kesopanan, kejujuran, kepintaran, keyakinan diri dan kreativiti. Inilah ciri-ciri yang dapat meninggi atau merendahkan daya kuasa diri untuk memikat orang yang kita kasihi. 

Pasangan yang sama-sama memiliki kuasa tarikan yang sama kuat terhadap satu sama lain, akan berasa seolah-olah ada semacam 'cinta pandang pertama' dari awal perkenalan mereka. Tetapi satu hal yang sering terjadi, daya kuasa tarikan ini tidak kekal. Ada masa menurun dan ada masanya menaik. Kalau kita lebih menyintai seseorang, ini bermakna orang itu mempunyai daya kuasa tarikan yang kuat daripada kita. Dan begitu juga sebaliknya. 

Ketidakseimbangan daya kuasa tarikan cinta boleh menyebabkan kita kehilangan cinta yang kita ingini. Pihak yang mempunyai daya tarikan rendah akan merasa dirinya sangat menyintai pasangannya. Manakala pihak yang merasa kuasa tarikannya tinggi akan merasa dia kurang menyintai pasangannya. Makanya di sini kiranya lelaki merasakan kuasa tarikannya rendah, dia akan berasa serba kekurangan. Dia berasa dirinya tidak tampan dan tidak sepadan dengan perempuan itu. Dia mula resah. Serba salah. Mula berasa takut dia akan kehilangan orang yang dikasihi. Dia juga berasa tidak mampu menandingi lelaki-lelaki lain. Dia menganggap dirinya serba kekurangan. 

Dalam keadaan beginilah si lelaki mula berasa cintanya pada perempuan itu bertambah. Dia akan berusaha untuk membuktikan cintanya. Dia sedia melakukan apa saja asal si perempuan itu terus menyintainya. Kadang-kadang usaha yang dibuatnya secara terbuka sehingga dapat dilihat dengan jelas oleh orang lain. Si lelaki mahu sentiasa berada bersama si perempuan tersebut. Si lelaki mahu membuat itu dan ini bagi perempuan tersebut. Si lelaki takut jika dia tidak ada, akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Dia takut si perempuan digoda oleh lelaki lain. 

Tindakannya ini membuatkan si perempuan mula berasa dirinya diikat, dikongkong dan dicemburui. Si perempuan mula berasa cinta si lelaki itu merimaskan. Menyesakkan. Malah dia mungkin bingung kerana tidak faham mengapa dia dicemburui sedangkan dia tidak ada apa-apa hubungan dengan lelaki lain. Dan bila keadaan ini berlaku, kemungkinan cinta si perempuan mulai berkurangan pada lelaki tersebut. Si perempuan kemungkinan berasa cinta yang membuak-buak daripada lelaki itu sesuatu yang tidak menghairahkan. Si perempuan kini berasa begitu yakin akan cinta si lelaki itu padanya. Keyakinan itu menyebabkan si perempuan menjadi sangat berkuasa dalam menentukan arah cinta mereka.

Khamis, 4 April 2013

Cara Membahagiakan Kedua Ibu Bapa

SETIAP anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa demi membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan mulia.

Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk material dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.

Antara bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa.

Memberi nafkah. 

Adaibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Jika bekerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.

Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.

Menyediakan tempat tinggal.

Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal atau tidak sesuai untuk didiami, menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal lebih sesuai kepada ibu bapa.

Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.

Memberi kasih sayang. 

Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini dicurahkan ibu bapa. Jadi, seharusnya kasih sayang itu dibalas sebaik-baiknya.

Anak yang baik tidak melupakan jasa dan kasih sayang ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.

Firman Allah bermaksud: "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil." (Surah al-Isra, ayat 24)

Memberi perhatian. 

Ibu bapa yang diabaikan akan kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak dipedulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.

Ramai ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah penjagaan orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa, sedangkan mereka mampu menjaga dan membesarkan beberapa anak.

Memenuhi permintaan. 

Ibu bapa sering memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.

Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat dan seumpamanya.

Malah, keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama daripada berjihad di medanperang. Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: "Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: "Apakah perbuatan disukai oleh Allah?" Lalu Baginda bersabda: "Sembahyang pada waktunya." Kemudian apa?" tanya saya lagi. Baginda menjawab: "Berbakti kepada kedua ibu bapa." Saya bertanya: "Apa lagi." Jawab Baginda: "Berjihad pada jalan Allah."

Melakukan apa yang disukai.

Ibu bapa tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka.

Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa." (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: "Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Maka, sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati."

 Bercakap dengan lemah lembut. 

Satu cara menjaga perasaan ibu bapa adalah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendak direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.

Firman Allah bermaksud: "Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua-dua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata 'cis' terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi, berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut." (Surah al-Israk, ayat 23).

Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.

Menghadiahkan kejayaan.

Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.

 Meluangkan masa bersama-sama.

Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi mereka. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.

Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa. 

Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan walaupun mereka meninggal dunia.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya." (Hadis riwayat Muslim).

Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.

Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup.

Sabtu, 16 Mac 2013

Bertafakur Dengan Nikmat


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Kita mendapati manusia sentiasa berterima-kasih sesama mereka ketika mana seseorang daripada mereka menghulurkan bantuan kepada saudaranya yang lain, sekalipun pertolongan itu kecil. Kita tidak menemui ramai yang bersyukur kepada Allah di atas nikmatNya sekalipun besar. Seolah-olah nikmat-nikmat itu adalah suatu yang diperolehi dengan usaha sendiri, bukan dengan kelebihan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Malahan ramai yang menggunakan nikmat untuk tuiuan maksiat. Itulah kelalaian, bantahan dan kekufuran terhadap nikmat. Mereka tidak memberikan nilaian sebenar terhadap nikmat melainkan jika mereka terhalang dari mendapatkannya atau musibah menimpa mereka. Tatkala itu, mereka akan kembali memohon kepada Allah. Ada juga yang merasa sempit (putus asa) dengan kehidupan sehingga ingin membunuh diri.
Dan apa-apa nikmat Yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah; Kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepadaNyalah kamu meraung meminta pertolongan.

Kemudian, apabila ia menghapuskan kesusahan itu daripada kamu, tiba-tiba sepuak di antara kamu mempersekutukan (sesuatu Yang lain) Dengan Tuhan mereka.

(Mereka melakukan Yang demikian) kerana mereka kufur, tidak bersyukur akan nikmat-nikmat Yang Kami berikan kepada mereka. oleh itu, Bersenang-senanglah kamu (dengan nikmat-nikmat itu bagi sementara di dunia), kemudian kamu akan mengetahui (balasan buruk Yang akan menimpa kamu).
(Surah Al-Nahl: Ayat 53-55)

Dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua Yang kamu hajati. dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.
(Surah Ibrahim: Ayat 34)

Dengan itu, kita mendapati Al-Qur’an Al-Karim menyeru kita agar bertafakkur dan mengenali nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya. Perlulah diberi nilai yang sewajarnya kepadanya dan merasai kelebihan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan limpahan kurniaNya. Mestilah dilaksanakan segala kewajipan puji dan syukur kepada Allah. Amat penting sekali kita merenung, bertadabbur dan menghargai terhadap segala tanda-tanda kekuasaan Allah.
 Dengan demikian, kita dapat menambah perasaan ingin menerima kelebihan, kemuliaan, rahmat, dan ihsan Allah. Selain itu, rasa kefakiran dan keperluan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala juga bertambah, pada setiap detik dan pergerakan atau diam.
Perlu juga disedari betapa cuainya kita dalam menunaikan kewajipan syukur dan kemestian menggunakan ni’mat-ni’mat ini untuk keta’atan dan menjauhi kemaksiatan.

Nikmat yang terbesar dan teragung ialah nikmat Islam:
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. maka sesiapa Yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda Yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Al-Ma’idah: Ayat 3)

Ahad, 10 Februari 2013

Ciri-ciri Wanita Idaman Lelaki

Hiasan
1. Berpegang Kepada Agama
Wanita yang berpegang kepada agama mempunyai keperibadian yang unggul. Batas-batas syariat yang dipegang dan terpelihara dalam hidupnya mengangkat martabat dirinya sebagai seorang yang layak dikagumi oleh lelaki. 
Dia tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariah Islam. Memang beruntung mana-mana lelaki yang beristeri dengan wanita sebegini.

2. Kecantikan Dalaman

Wanita yang tulen adalah lemah lembut dalam perwatakannya tetapi mempunyai prinsip dalam hidup. Inilah kecantikan dalaman yang dicari oleh ramai lelaki. Kalau cantik, tu dikira sebagai BONUS.
Wanita yang mempunyai kecantikan dalaman tidak akan sesekali menjual maruah dirinya hanya untuk mencari nama dan wang. Mereka tidak akan sesekali tunduk pada nafsu atau berbuat sesuatu semata-mata kerana mahukan harta dan kekayaan.

3. Manja

Lelaki suka wanita yang keanak-anakan atau yang ada sifat manja, supaya lelaki boleh memainkan peranan sebagai pelindung. Namun begitu, sifat manja dan keanak-anakan yang melampau tidak sesuai kerana ia akan menampakkan wanita itu seperti kurang matang.

4. Pandai Menjaga Kecantikan

Lelaki menginginkan wanita yang pandai menjaga kecantikan dirinya. Wanita dan kecantikan memang susah nak dipisahkan. Mereka akan kelihatan bertambah cantik jika bijak menguruskan penampilan diri. 
Lelaki secara fitrahnya memang mahukan wanita yang pandai menjaga kecantikan, kerana ia akan membuat mereka bangga.

5. Berakhlak Mulia

Wanita yang berakhlak mulia dikenali juga sebagai wanita solehah. Wanita adalah hiasan dunia, tetapi seindah hiasan adalah wanita solehah. Merekalah ibu, isteri, kekasih dan merupakan tunjang kejayaan suami.

6. Tidak Mempamer Keseksian

Lelaki suka menjamu mata dengan melihat aurat wanita, namun tidak suka menjadikanya isteri kerana keindahan diri wanita tu seolah-olah menjadi barang pameran untuk mata semua lelaki.

7. Tidak Cerewet

Lelaki suka pada wanita yang tidak cerewet. Mengapa pula? Sebab wanita yang cerewet boleh merimaskan dan mudah menyebabkan lelaki merasa jemu dengannya. 
Biasanya, wanita yang cerewet suka mengkritik apa saja yang tidak disenanginya walaupun perkara itu hanyalah perkara kecil.

8. Memahami Lelaki

Wanita yang memahami hati lelaki biasanya mempunyai intuisi yang cukup kuat. Lelaki mengimpikan wanita yang mampu memahami situasinya dalam keadaan suka dan duka.
Pendek kata, tanpa perlu bersuara, dia itu sudah dapat membaca riak wajah suaminya. Lantas, bertindak menghiburkan atau memberi kekuatan.

9. Sejuk Mata Memandang

Wanita yang manis wajahnya dan sejuk dipandang mata akan mendamaikan perasaan seorang lelaki. 

Sabtu, 26 Januari 2013

Tanda@ Lelaki Yang Belum Bersedia Untuk Bernikah


1. Terus ‘tutup mulut’ apabila anda bertanya kepadanya mengenai kesediannya untuk berumahtangga.
2. Tidak pernah ada niat untuk menemui orang tua anda walaupun anda sudah berusaha untuk mempertemukan dengan orang tua anda.
3. Tidak pernah memegang janji. Melupakan dan membatalkan janji dengan anda bukan perkara yang menganggu fikirannya.
4. Tidak pernah benar-benar memerlukan orang lain. Mungkin dia banyak teman atau sanak saudara, tapi tidak ada yang benar-benar akrab dan dekat dengannya. Jadi, dia memang tidak mengerti makna ‘ikatan’
5. Jarang memperkenalkan anda kepada kenalannya.
6. Mudah bercinta dengan wanita lain.
7. Tidak pernah membincangkan masalah peribadinya dengan anda. Juga tidak mengizinkan anda untuk mengetahui masalah peribadinya dengan anda.
8. Terlalu menganggap bahawa segala-galanya mesti sempurna.
9. Berulangkali dia menceritakan mengenai keburukan-keburukan dirinya kepada anda.

Khamis, 24 Januari 2013

7 Sunnah Nabi


Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup. Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, Jangan lupakan mati, tapi rindukan mati.kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah akhir cerita dalam hidup,tapi mati adalah awal cerita sebenarnya,maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan.

Persiapkan kematian dengan selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama: Tahajjud karena kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. 

Kedua: Membaca Al-Qur’an sebelum terbit matahari. Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur’an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

Ketiga: Jangan tinggalkan masjid untuk sholat berjama'ah, terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, karena masjid merupakan pusat keberkatan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

Keempat: Jaga solat Dhuha kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

Kelima: Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Keenam: Jaga wuduk  terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, “Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah”.

Ketujuh: Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah. (Pesan indah dari KH. Arifin Ilham).

Selasa, 1 Januari 2013

Selamat Tahun Baru 2013



Selamat menyambut mentari pertama ditahun baru 2013

Selamat menghirup udara pertama di tahun 2013
Selamat menikmati tiupan angin pertama di tahun 2013
Semoga ditahun ini segala cita kita dapat terwujud dengan pengharapan baru

Semoga Allah memberkati hidup kita hari ini hingga keakhirNya
Semoga amalan kita diterima oleh Allah dan marilah bersama kita beristiqamah
Sesungguhnya kita adalah hambaNya