Jumaat, 27 Mei 2011

Bila Al-Quran berbicara

Waktu engkau masih kanak-kanak.............
kau laksana kawan sejatiku
Dengan wudu', Aku kau sentuh
dalam keadaan suci, Aku kau pegang
Aku,kau junjung dan kau pelajari
Aku engkau baca dengan suara lirih atau pun keras setiap hari
Setelah selesai engkau menciumku mesra

Sekarang engkau telah dewasa..............
Nampaknya kau sudah tak berminat lagi padaku....
Apakah Aku bahan bacaan usang yang tinggal sejarah...?
Menurutmu, mungkin aku bahan bacaan yang tidak menambah pengetahuanmu
Atau, menurutmu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji.......
Sekarang, Aku tersimpan rapi sekali;
sehingga engkau lupa di mana Aku tersimpan
Aku sudah engkau anggap hanya sebagai pengisi setormu.

Kadang kala Aku dijadikan mas kawin agar engkau dianggap bertaqwa
Atau Aku kau buat penangkal untuk menakuti iblis dan syaitan
Kini Aku lebih banyak tersingkir, dibiarkan dalam kesendirian , kesepian.
Di dalam almari, di dalam laci, Aku engkau pendamkan.
Dulu...pagi-pagi....surah-surah yang ada padaku engkau baca beberapa
halaman.
Di waktupetang, Aku kau baca beramai-ramai bersama temanmu di surau.....

Sekarang...seawal pagi sambil minum kopi...engkau baca surat khabar dahulu
Waktu lapang engkau membaca buku karangan manusia
Sedangkan Aku yang berisi ayat-ayat yang datang dari Allah Azzawajalla,
Engkau engkau abaikan dan engkau lupakan...

Waktu berangkat kerja pun kadang engkau lupa baca pembuka
surah2ku(Bismillah).
Di dalam perjalanan engkau lebih asyik menikmati musik duniawi
Tidak ada kaset yang berisi ayat Allah yang terdapat di dalam keretamu
Sepanjang perjalanan,radiomu selalu tertuju ke stesyen radio kesukaanmu
Mengasyikkan.

Di meja kerjamu tidak ada Aku untuk kau baca sebelum kau mulai kerja
Di Komputermu pun kau putar musik favoritmu
Jarang sekali engkau putar ayat-ayatku.........
E-mail temanmu yang ada ayat-ayatku pun kau abaikan
Engkau terlalu sibuk dengan urusan dunia mu
Benarlah dugaanku bahawa engkau kini sudah benar-benar hampir melupaiku


Bila malam tiba engkau tahan bersekang mata berjam-jam di depan TV.
Menonton siaran telivisyen
Di depan komputer berjam-jam engkau betah duduk
Hanya sekadar membaca berita murahan dan gambar sampah
Waktupun cepat berlalu.........
Aku semakin kusam dalam laci-laci mu
Mengumpul debu atau mungkin dimakan hama

Seingatku, hanya awal Ramadhan engkau membacaku kembali
Itupun hanya beberapa lembar dariku.
Dengan suara dan lafadz yang tidak semerdu dulu
Engkaupun kini terangkak-rangkak ketika membacaku
Atau waktu kematian saudara atau taulan mu

Bila engkau di kubur sendirian menunggu sampai kiamat tiba
Engkau akan diperiksa oleh para malaikat suruhanNya
Apakah TV, radio ,hiburan atau komputer dapat menolong kamu?
Yang pasti ayat-ayat Allah s.w.t yang ada padaku menolong mu
Itu janji Tuhanmu, Allah s.w.t

Sekarang engkau begitu enteng membuang waktumu...
Setiap saat berlalu...
Dan akhirnya.....
kubur yang setia menunggu mu............
Engkau pasti kembali, kembali kepada Tuhanmu

Jika Aku engkau baca selalu dan engkau hayati...
Di kuburmu nanti....
Aku akan datang sebagai pemuda gagah nan tampan.
Yang akan membantu engkau membela diri
Dalam perjalanan ke alam akhirat.
Dan Akulah "Al-Qur'an",kitab sucimu
Yang senantiasa setia menemani dan melindungimu.

Peganglah Aku kembali.. .. bacalah aku kembali aku setiap hari.
Karena ayat-ayat yang ada padaku adalah ayat-ayat suci.
Yang berasal dari Allah Azzawajalla
Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah
Yang disampaikan oleh Jibril melalui Rasulmu
Keluarkanlah segera Aku dari almari, lacimu.......
Letakkan aku selalu di depan meja kerjamu.
Agar engkau senantiasa mengingat Tuhanmu.
Sentuhilah Aku kembali...

Baca dan pelajari lagi Aku....
Setiap datangnya pagi, petang dan malam hari walau secebis ayat
Seperti dulu.... Waktu engkau masih kecil
Di surau kecil kampungmu yang damai
Jangan aku engkau biarkan aku sendiri....
Dalam bisu dan sepi....

Bergembiralah dengan pilihan ALLAH untuk anda. sebab anda tidak tahu tentang maslahat yang tersembunyi di sebaliknya. Boleh jadi kesulitan itu lebih baik bagi anda daripada kesenangan.

Ketahuilah, bahawa ujian itu akan mendekatkan diri anda dengan ALLAH, mengajar agar anda berdoa, dan menghilangkan sifat takabbur, ujub dan segala kesombongan dari diri anda.

Berbuat baiklah kepada sesama manusia, dan hulurkan kebaikan kepada semua orang agar anda memperolehi kebahagian ketika menziarahi orang sakit, memberi sesuatu kapada orang yang memerlukan, dan menyayangi anak yatim.

Ketahuilah. bahawa anda sebenarnya memiliki berbagai kenikmatan, dan memiliki pundi-pundi kebaikan yang ALLAH kurniakan kepada diri anda.

Jauhilah buruk sangka, lemparkan angan-angan kosong, khayalan-khayalan buruk dan fikiran-fikiran yang kotor.
 
By: e-kampung

Rabu, 25 Mei 2011

Perkara-perkara Yang Dilarang Bagi Wanita

Jangan bersalaman dengan lelaki bukan mahram 
1. Menyambung rambut palsu
2. Bertatu, mencabut bulu wajah dan mengikir gigi
3. Keluar rumah dengan memakai minyak wangi
4. Memperlihatkan perhiasan(bersolek) di depan lelaki lain
5. Menolak panggilan suami untuk tidur bersama
6. Membuka rahsia hubungan suami isteri
7. Berpuasa sunat tanpa izin suami
8. Membelanjakan harta suami, tanpa izin suami
9. Derhaka kepada suami
10. Meminta cerai tanpa sebab yang jelas
11. Mengingkari kebaikan suami
12. Bersama lelaki lain yang bukan mahram
13. Memandang lelaki yang bukan mahramnya
14. Bersalaman dengan lelaki bukan mahram
15. Menyerupai lelaki
16. Membuka rahsia wanita lain kepada suami
17. Memandang aurat wanita lain
18. Keluar rumah tanpa ada keperluan
19. Masuk permandian awam
20. Mencakar-cakar tubuh ketika dapat musibah
21. Meratapi kematian
22. Berhias atas meninggalnya seseorang
23. Menghantar jenazah
24. Mempercayai dukun dan peramal
25. Menyumpah anak-anak sendiri 
26. Tidak bertegur sapa dengan sesama muslim
27. Menganiaya pembantu
28. Mengganggu jiran
29. Minta cerai kerana suami sakit
30. Minta cerai kerana suami menikah lagi


Sabtu, 21 Mei 2011

Cara Nabi jaga kesihatan diri

BAGAIMANAKAH cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w yang perlu umat Islam contohi? Mencontohi Nabi bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam semua aspek kehidupan kita.
Kali ini penulis ingin kongsikan bersama cara hidup sihat Nabi Muhammad amalkan. Bukan bermakna nabi terhindar daripada penyakit, tetapi baginda sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali saja. 
Baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun menggalas tugas berat dan mencabar. Perhatikan perbezaan dengan diri kita yang menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan. 

Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpenyakit. Antara beberapa cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah:


Selalu bangun sebelum subuh 

Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah. 

Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran. 

Aktif menjaga kebersihan 

Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi. 

“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim) 

Tidak pernah makan berlebihan 

Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih) 

Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan. 

Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat. 

Gemar berjalan kaki 

Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar. 

Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi. 

Tidak pemarah 

Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa. 

Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring. 

Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan gundah 
di hati. 

Optimis dan tidak putus asa 

Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t. 

Tidak pernah iri hati 

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.” 

Pemaaf 

Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan. 

Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat. 

Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat rasul semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.



myMetro

Isnin, 16 Mei 2011

Tip menu sihat makan di restoran












Pilih menu secara berhati-hati
Berikan tumpuan kepada senarai maklumat menu itu. Label-label seperti goreng, rangup, penuh keju, Alfredo, au gratin atau sos krim biasanya tinggi jumlah kalori dan sodium serta lemak tepu. Pilih hidangan yang mempunyai banyak sayur-sayuran dan ambil ayam atau daging yang kurang bahagian lemak.
Minum banyak air
Minuman berkarbonat memang sesuai dinikmati bersama makanan ringan tetapi ia mengandungi kalori tersembunyi. Saiz minuman berkarbonat biasa 32 auns mempunyai 425 kalori, jumlah yang amat tinggi dalam pengambilan kalori seharian. Jika tidak gemar minum air kosong, cuba tambahkan dengan titisan lemon atau menukarkannya dengan teh kurang atau tanpa gula.

‘Ubah’ makanan anda

Apabila memilih menu, berhati-hati dengan kuah salad, mentega, keju dan krim masam yang kaya dengan kalori dan lemak. Ketika memesan burger ayam, mintalah tanpa mayonis dan tukarkannya dengan sos mustard (jika ada).

Makan secara berhemah

Berikan perhatian terhadap makanan anda dan nikmati satu demi satu. Kunyah perlahan-lahan dan jangan makan secara tergesa-gesa. Makan secara berhemah juga bermaksud berhenti sebelum kenyang. Tubuh kita memerlukan masa untuk mengenalpasti apa yang kita makan. Makan secara tenang dapat memudahkan penghadaman dan membuatkan kita rasa lebih kenyang.

Saiz besar

Satu hidangan biasa makanan segera secara puratanya mengandungi lebih 1,000 kalori, jadi pilihlah hidangan kecil dan pilih salad berbanding kentang goreng. Andainya masih ingin menikmati kentang goreng, kurangkan kandungan garamnya dan jangan minta saiz besar. Satu saiz hidangan biasa sebenarnya boleh dijadikan dua hidangan. Makan separuh dan sebahagian lagi dibawa pulang atau dikongsi bersama pasangan.
......myMetro

Ahad, 15 Mei 2011

Guru Pembina Negara Bangsa


Selamat Menyambut dan Merayakan Hari Guru kepada semua warga pendidik. ”Terima Kasih Cikgu” atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dan memikul amanah rakyat. Segala pengorbanan yang telah dicurahkan tetap kami sanjung. Teruskan perjuangan mendidik anak bangsa demi masa depan yang gemilang....tahniah.

Sabtu, 14 Mei 2011

Harga Gula Naik- Lirik Yang Sama


Seperti biasa apabila ada barang naik harga, kita akan mendengar nyanyian dengan lirik sama, sengaja didendangkan untuk menyedapkan hati. Apakah kita masih suka dan terhibur dengan lagu ini?
Seperti ‘nyanyian’ Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Zin Mohd Dom: “Harga runcit (gula) di Malaysia masih lebih rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia (RM3.80), Singapura (RM3.61), Thailand (RM2.31) dan Filipina (RM4.50).”
Juga lirik sama: “Dengan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM283.4 juta setahun, iaitu kadar subsidi 20 sen sekilogram.
"Langkah ini selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat, dan kerajaan dapat melakukan penjimatan sebanyak RM116.6 juta setahun. Penjimatan ini boleh digunakan untuk membiayai projek kemudahan rakyat, termasuk pengangkutan awam.”
Harap-harap selepas beberapa kenaikan dan penjimatan ini sistem pengangkutan awam kita akan menjadi lebih baik – komuter dan LRT betul-betul menepati masa, bas yang sesak nafas lagi nyawa-nyawa ikan itu dinyahkan dari jalan raya kita. Marilah sama-sama kita berdoa, dan bertaruh.
Adalah diharapkan dengan kenaikan harga ini orang kita akan mengurangkan pengambilan gula seharian. Saya menyokong kenaikan harga gula, memandangkan kita adalah antara masyarakat termanis di dunia. Orang kita mengambil antara 17 hingga 26 sudu gula setiap hari, sedangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan hanya 10 sudu.
Akibat terlalu bergula-gula, air kencing kita pun manis tidak terkira. Berdasarkan kajian Persatuan Diabetes Malaysia bilangan pesakit diabetes di negara ini kini berjumlah 1.2 juta orang, dan dijangka meningkat sehingga 2.5 juta orang menjelang 2030.
Tetapi, lebih ramai yang kencing tawar dan berasa resah dengan kenaikan harga gula 20 sen. Ada satu lagi lirik lagu yang sama setiap kali harga barang naik: “Kenaikan ini tidak akan membebankan pengguna.”
Untuk sehari dua ini lirik itu mungkin relevan. Sekurang-kurangnya 3,700 ahli Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) berjanji tidak akan menaikkan harga minuman.
Harap-harap janji itu tidak akan dimungkiri. Muslim tidak boleh mungkir janji! Demikianlah perihal barang naik dan barang turun yang terjadi sehari dua ini. Seyogia diingat dulu, kini dan selamanya, ada juga barang yang sekejap naik sekejap turun. Malah, ada yang naik tidak kira masa, di mana sahaja. Ini kita kena hati-hati juga!
oleh ABDUL JALIL ALI

Isnin, 9 Mei 2011

Langkah Yang Perlu Diambil Oleh Kerajaan Untuk Kurangkan Perokok


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil langkah yang serius memandangkan merokok telah mengancam individu dan kesihatan masyarakat. Langkah yang lebih konkrit mestilah dilakukan dalam dasar negara dan dilaksanakan dengan tegas untuk memerangi masalah penggunaan tembakau yang semakin berkembang.
1) Kurangkan Permintaan

a. Jadikan harga rokok minimum yang lebih tinggi bagi rokok untuk memastikan perokok menghentikan tabiat mereka yang membazirkan wang itu. Harga runcit rokok berjenama premium perlu ditetapkan pada kadar yang lebih tinggi bagi kotak 20 batang, lebih tinggi berbanding harga semasa kira-kira RM10 sekotak. Harga premium rokok berjenama di United Kingdom ialah RM36.60, Ireland RM37.98, Singapura RM27.80, New Zealand RM27.20, Jepun RM10.60 dan Sri Lanka RM10.90.

b. Menguatkuasakan pengharaman jualan rokok secara berasingan untuk memastikan peruncit tidak menjualnya.

c. Menaikkan duti eksais ke atas produk tembakau dan meningkatkan penguatkuasaan untuk mencegah penyeludupan secara haram, barangan gelap atau rokok bebas cukai. Ini membantu untuk memastikan rokok tidak diperolehi dengan mudah oleh sebahagian besar penduduk.

d. Hapuskan status bebas cukai bagi rokok dan produk tembakau yang dijual di lapangan terbang dan kedai bebas cukai.

e. Hentikan penjualan rokok di atas kapal terbang Malaysia.

f. Haramkan pameran rokok di kaunter bayaran setiap premis dan kedai runcit serta tempat tumpuan utama lain. Sebagai ganti, produk ini perlu dijauhkan daripada pandangan awam, contohnya di bawah kaunter bayaran, dan hanya dikeluarkan untuk dijual atas permintaan khusus pelanggan.

2) Melindungi daripada perokok pasif – melanjutkan pengharaman merokok meliputi semua tempat awam termasuk restoran, bar, taman dan kawasan rekreasi.

3) Memperkenalkan sistem pelesenan yang menghadkan bilangan dan lokasi premis yang dibenarkan untuk menjual produk tembakau. Lesen seharusnya tertakluk kepada pembaharuan setiap tahun.

4) Meningkatkan langkah menghapuskan penanaman tembakau, dan menjadikannya haram untuk menanam tembakau.

5) Meningkatkan dana kerajaan untuk pendidikan, kempen anti-merokok, dan langkah untuk membantu perokok menghilangkan tabiat merokok mereka.

6) Melarang mengaitkan pendidikan, aktiviti sukan, biasiswa dengan syarikat dan produk tembakau.

7) Keazaman politik yang kuat dan melaksanakan dasar peraturan yang tegas untuk mengawal tabiat merokok di negara. Kerajaan perlu menghentikan menggunakan usaha menghapuskan kemiskinan dan perlindungan petani sebagai alasan untuk gagal mengambil tindakan tegas terhadap pengeluaran dan promosi tembakau.

8) Mengharamkan publisiti bagi produk tembakau dalam sebarang bentuk. Pemimpin kerajaan perlu menunjukkan contoh teladan dan melalui sokongan bagi mengurangkan perokok dan penyakit yang dikaitkan dengannya.

9) Hentikan sebarang bentuk tidak ketara daripada sokongan kerajaan untuk produk tembakau – pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan mestilah menghentikan daripada memberikan sokongan kepada syarikat tembakau multinasional sebagai warga korporat yang baik, dengan itu memberikan mereka peluang untuk mengurangkan kesan terhadap dasar tembakau.

10) Sokongan media juga turut diperlukan untuk menghentikan aktiviti merokok – pihak media perlu meningkatkan liputan terhadap kesan negatif tembakau untuk meningkatkan kesedaran komuniti terhadap bahaya merokok dan menggalakkan mereka berhenti merokok.
Tembakau adalah penyebab penyakit utama yang boleh dicegah, kehilangan masa yang berharga dan kematian awal dalam kalangan rakyat Malaysia. Kami menggesa kerajaan supaya tidak lagi berada dalam konflik tetapi meletakkan kepentingan orang ramai mengatasi kepentingan industri.
Oleh : Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Ahad, 8 Mei 2011

Kesan stres terhadap daya kerja

PELBAGAI kejadian dan tragedi yang melibatkan tekanan atau stres dan kemurungan teruk sebenarnya boleh dielak dan diatasi, jika orang ramai mengambil berat mengenainya. Malah, ia boleh menjadi penyakit yang serius andai tidak diurus dan dikawal dengan baik.
Walaupun stres dikategorikan penyakit yang serius tetapi sayangnya ia tidak diambil berat.
Ini mungkin kerana masyarakat beranggapan bahawa stres hanya memberikan kesan seketika tanpa menyedari bahawa stres juga boleh menjejaskan seluruh badan dan minda.
"Ia boleh menjejaskan tingkah laku, fikiran, emosi, perhubungan dengan orang lain di pejabat dan rumah," ujar Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh ketika menyampaikan ceramah dalam Bengkel Stres Kehidupan anjuran Hospital Gleneagles.
Dr. Nor Hamidah memberitahu, wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami stres dan kemurungan berbanding lelaki. Tidak ada sebab tertentu yang mengatakan punca mengapa wanita lebih berisiko tinggi berbanding lelaki.
Bagaimanapun, ia mungkin kerana wanita lebih mudah meluahkan perasaan dan dengan cara begini mereka cepat mendapatkan rawatan.
Lelaki biasanya tidak mudah meluahkan perasaan dan ini mungkin kerana anak lelaki dididik supaya menjadi 'lelaki sejati', iaitu tidak boleh menangis dan sebagainya.
Banyak kes yang dirawat di hospital melibatkan pesakit yang tidak membiasakan diri menyelesaikan masalah dari peringkat awal lagi.
Kadang-kadang masalah di tempat kerja juga memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan sehingga memporak-perandakan perkahwinan itu sendiri.
Bagi penghidap stres, mereka bimbang, masyarakat akan memandang serong terhadap mereka dan tidak mahu dilabel kurang siuman.
Ujar Dr. Nor Hamidah, sebab itu masyarakat juga perlu prihatin dan sedar betapa stres dan kemurungan yang tidak dirawat dengan baik boleh memberi kesan kepada produktiviti kerja.
Ramai wanita stres?
Menurut Dr. Nor Hamidah, dalam satu kajian yang pernah dijalankan oleh Universiti Arizona terhadap 166 pasangan berkahwin mendapati, wanita melalui episod stres yang tinggi berbanding lelaki.
Bercerita mengenai punca masalah yang semakin meningkat itu katanya, desakan hidup dan persekitaran sebenarnya menjadi penyebab utama.
Kebanyakan wanita pada peringkat umur 35 hingga 45 tahun mengalami emosi yang stabil kerana ramai yang mula bijak menguruskan kewangan sementara anak-anak pula sudah membesar. Berbeza dengan wanita yang baru mendirikan rumah tangga atau mempunyai anak, mereka belum bijak menguruskan hal rumah dan kerja. Bagi wanita yang berumur 45 tahun ke atas, mereka pula berhadapan dengan perubahan hormon akibat menopaus.
Pendek kata wanita dwi kerjaya berhadapan dengan pelbagai cabaran iaitu penjagaan anak-anak, menjaga ibu bapa, beban kerja rumah, masalah dalam perkahwinan dan prestasi kerja.
Bijak
Namun seandainya seseorang bijak melalui setiap stres yang dialami, mereka mampu menjalani hidup dengan lebih berkualiti.
Jelas Dr. Nor Hamidah, kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.
"Mengambil berat tentang kesihatan mental membantu kita untuk merasa lebih sihat secara fizikal. Begitu juga sebaliknya kerana kedua-dua perkara ini saling berkait," katanya.
Dr. Nor Hamidah turut menasihatkan mereka yang mengalami masalah supaya ambil masa untuk rehat dan berani untuk berbincang mengenainya bersama saudara atau teman terdekat.
"Anda sendiri mungkin sedar dengan perbezaan diri apabila mengalami masalah mental seperti kemurungan. Malah rakan-rakan terdekat juga pasti akan sedar mengenainya. Seandainya ada yang menasihati anda agar bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan, jangan tunggu lagi," katanya.
Dr. Nor Hamidah memberitahu, kerja, keluarga dan kawan-kawan memberi kesan kepada kesihatan mental dari sudut kebaikan dan keburukan. Justeru katanya, setiap individu perlu pandai mengimbangi kerjaya dan kehidupan mereka agar sihat mental dan fizikal.
Pengurusan stres di pejabat
Justeru itu, setiap organisasi perlu ada pengurusan stres di tempat kerja agar tidak menganggu produktiviti pekerja.
"Kita lihat banyak kejayaan menerusi perlaksanaan pengurusan kerja di pejabat. Kajian syarikat McDonnel Douglas pada tahun 1989 menunjukkan pengurusan stres di pejabat menurunkan 35 peratus kos penjagaan kesihatan pekerja. Pada tahun 1995, Perkhidmatan Salah Tingkahlaku dan Kesihatan Mental mendapati pengurusan stres di tempat kerja telah menurunkan 35 peratus masalahstres pekerja dan meningkatkan produktiviti sebanyak 14 peratus," ujarnya.
Mengulas lanjut tentang pengurusan ini, setiap organisasi perlu merujuk pekerja yang stres kepada pakar psikiatri, psikologi atau kaunselor.
Kebiasaannya, pekerja yang berhadapan dengan stres akan diberi cuti sakit sehingga seminggu. Jika kes serius berlaku, rawatan boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan.
Ini penting untuk mengurangkan berlakunya darah tinggi - lelah - masalah kulit yang semakin teruk seperti jerawat, psoriasis, ekzema - serangan jantung - sinus/resdung - hilangan fungsi seksual dan pembiakan - strok - masalah berat badan - gangguan tidur - cirit-birit atau sembelit - migrain - gangguan kebimbangan - ulser perut - sakit kepala - kemurungan.

Isnin, 2 Mei 2011

Nasi Lemak



Salam Semua...

Ni kalau Pak Long tanya janda Limah hujung kampung tu, berkarung karung la Najib nanti kena maki ngan dia. Takut bebudak gemuk kat sekolah, peniaga nasik lemak jadi gelabah. Menteri menteri Najib ni pun satu... jangan la gatai tang lain, pi garu tang lain pulak... dah hilang akai ka hapa, berlambak benda lain yang hangpa boleh buat, peniaga kecik jugak yang hangpa kacau kuat...


Ca hangpa pikiaq camana nak angkat Islam tu bagi tinggi jangan dok bagi tenggelam orang keji... ca hangpa cari idea nak senangkan rakyat dari tengok depa melarat. Nasi lemak tu bukan sesatunya yang bawak mudarat, mengkalu dah kesihatan diri tak reti ambik berat. Bukan ka sekolah tu tempat mengaji, jadi kaji la camana nak bagi bebudak tu paham jaga diri sendiri. Bukannya pi boh pasiaq dalam periuk nasik si janda Limah ni...

Janda Limah tu bukannya orang senang, berniaga kecik kecik pagi sampai petang, camana kalau depa dua beranak tu susah... kan Pak Long jugak yang gelabah... haha...

Pak Long ni tak pepasai teringat nasik lemak janda Limah tu bukannya apa, dah tau dah sari hari ni kena baham nasik lemak bungkuih tu la sampai ke petang... Mak Long hang dah buat pengumuman awai, tak kelapaq nak masak apa hari ni, cuti hari buruh... hadoiihh... Nak kata apa lagi dah, nak ucap selamat hari pekerja ja la kat hangpa semua...

Wassalam...

Santai: Pak Long