Sabtu, 16 Mac 2013

Bertafakur Dengan Nikmat


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Kita mendapati manusia sentiasa berterima-kasih sesama mereka ketika mana seseorang daripada mereka menghulurkan bantuan kepada saudaranya yang lain, sekalipun pertolongan itu kecil. Kita tidak menemui ramai yang bersyukur kepada Allah di atas nikmatNya sekalipun besar. Seolah-olah nikmat-nikmat itu adalah suatu yang diperolehi dengan usaha sendiri, bukan dengan kelebihan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Malahan ramai yang menggunakan nikmat untuk tuiuan maksiat. Itulah kelalaian, bantahan dan kekufuran terhadap nikmat. Mereka tidak memberikan nilaian sebenar terhadap nikmat melainkan jika mereka terhalang dari mendapatkannya atau musibah menimpa mereka. Tatkala itu, mereka akan kembali memohon kepada Allah. Ada juga yang merasa sempit (putus asa) dengan kehidupan sehingga ingin membunuh diri.
Dan apa-apa nikmat Yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah; Kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepadaNyalah kamu meraung meminta pertolongan.

Kemudian, apabila ia menghapuskan kesusahan itu daripada kamu, tiba-tiba sepuak di antara kamu mempersekutukan (sesuatu Yang lain) Dengan Tuhan mereka.

(Mereka melakukan Yang demikian) kerana mereka kufur, tidak bersyukur akan nikmat-nikmat Yang Kami berikan kepada mereka. oleh itu, Bersenang-senanglah kamu (dengan nikmat-nikmat itu bagi sementara di dunia), kemudian kamu akan mengetahui (balasan buruk Yang akan menimpa kamu).
(Surah Al-Nahl: Ayat 53-55)

Dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua Yang kamu hajati. dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.
(Surah Ibrahim: Ayat 34)

Dengan itu, kita mendapati Al-Qur’an Al-Karim menyeru kita agar bertafakkur dan mengenali nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya. Perlulah diberi nilai yang sewajarnya kepadanya dan merasai kelebihan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan limpahan kurniaNya. Mestilah dilaksanakan segala kewajipan puji dan syukur kepada Allah. Amat penting sekali kita merenung, bertadabbur dan menghargai terhadap segala tanda-tanda kekuasaan Allah.
 Dengan demikian, kita dapat menambah perasaan ingin menerima kelebihan, kemuliaan, rahmat, dan ihsan Allah. Selain itu, rasa kefakiran dan keperluan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala juga bertambah, pada setiap detik dan pergerakan atau diam.
Perlu juga disedari betapa cuainya kita dalam menunaikan kewajipan syukur dan kemestian menggunakan ni’mat-ni’mat ini untuk keta’atan dan menjauhi kemaksiatan.

Nikmat yang terbesar dan teragung ialah nikmat Islam:
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. maka sesiapa Yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda Yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Al-Ma’idah: Ayat 3)