Jumaat, 11 Mac 2011

Tafsiran Mimpi Menurut Islam - Bahagian II

Mimpi Melihat Kematian


Mimpi yang mendapat tahu yang umurnya tidak panjang atau akan mati tidak lama lagi selalunya dipanggil mimpi kematian. Mimpi kematian terpecah kepada banyak jenis dan bahagiannya. Renungkanlah agar kita sama-sama dapat menjadikannya satu iktibar di masa hadapan, insyaallah.



Umar bin Subaih al-Sa'id berkata: "Saya bermimpi melihat Abdul Aziz bin Sulaiman memakai pakaian hijau dan di atas kepalanya ada mahkota yang diperbuat daripada berlian. Lalu saya tanya: "Abu Muhammad, bagaimana perasaanmu tentang kematian itu? Dan bagaimana keadaan di sana? "Dia berkata: "Ada pun maut itu, jangan tanya tentang kepedihan dan kesusahannya. Tetapi saya tidak merasakannya kerana kurnia Allah swt. kepadaku."

1. Penafsiran dan Penyesuaian
Al-Ustaz Abu Sa'id berkata: "Melihat mati dalam mimpi adalah penyesalan daripada perkara yang sangat besar. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia mati, kemudian dia hidup lagi, bererti dia mempunyai dosa kemudian dia bertaubat, berdasarkan firman Allah swt. yang bermaksud:


Mereka berkata: "Ya Tuhan kami, Engkau telah mematikan kami dua kali dan menghidupkan kami dua kali, lalu kami mengakui dosa-dosa kami." (al-Mukmin -11)



Sesiapa yang melihat seolah-olah dia mati tanpa didahului sesuatu penyakit dan hal-hal yang menyebabkan kematian, bererti umurnya masih panjang. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia belum mati bererti sudah dekat ajalnya. Jika orang yang bermimpi itu seolah-olah menyangka bahawa dia tidak mati untuk selamanya, maka dia akan mati dalam perang sabilillah.



Sesiapa yang bermimpi, lalu dia dimandikan dan dikafani, bererti selamatlah masalah keduniaannya tetapi rosak agamanya. Sesiapa yang melihat imam (pemimpin negeri) mati, bererti akan terjadi bencana di negeri itu, sebagaimana juga bermimpi melihat terjadi bencana di satu negeri menunjukkan matinya imam negeri itu.



Sesiapa yang bermimpi melihat mayat seseorang (yang sudah mati), seolah-olah dia mati lagi, lalu orang-orang menangis, yakni tidak sampai berteriak dan meratap, maka ini menunjukkan akan berkahwin salah seorang zuriatnya. Bemimpi melihat tangisan mereka itu menunjukkan terjadinya sesuatu yang menggembirakan bagi mereka. Menurut satu pendapat bemimpi melihat matinya lagi orang yang sebenarnya sudah mati menunjukkan akan matinya salah seorang keluarganya.



Sesiapa yang bermimpi menjumpai mayat, maka dia akan mendapat harta. Jika datang kepadanya khabar kematian seseorang, bererti akan sampai kepadanya khabar kerosakan agamanya dan meningkatnya masalah keduniaannya. Jika dia melihat seolah-olah anaknya mati, maka dia lepas dari musuhnya.



Jika dia melihat seolah-olah seseorang berkata depada seseorang: "Si Polan meninggal dunia ", maka terjadi kesusahan bagi yang memberitahukan itu. Jika orang hamil bermimpi mati dan orang lain menangisinya tanpa meratap, maka dia akan mendapat anak lelaki dan dia akan bergembira.



Menurut satu pendapat orang bujang yang bermimpi mati menunjukkan dia akan berkahwin, sedangkan orang berkahwin yang bermimpi mati menandakan dia akan bercerai. Ini kerana jika terjadinya kematian akan terjadilah perpisahan. Begitu juga orang yang berkawan intim bemimpi mati menandakan mereka akan berpisah.



Sedangkan mimpi meratap, sesiapa yang melihat seolah-olah satu tempat di tempat dijadikan tempat meratap, maka akan terjadi pentadbiran yang tidak baik di tempat itu yang menyebabkan ahlinya bercerai-berai.



Sedangkan mimpi menangis, ada dihikayatkan dari Ibnu Sirin bahawa beliau berkata: "Tangisan yang dilihat dalam tidur ialah sesuatu yang menggembirakan. Tetapi kalau tangisan atau ratapan itu disertai dengan tarian tidak baik mimpinya. Jika seseorang melihat ada orang yang mati, yakni orang yang dikenalnya, dan dia meratapnya dan membunyikan terompet, bererti terjadi musibah atau dukacita bagi orang yang dilihat itu atau bagi keluarganya.



Jika seseorang melihat pemimpin mati dan mereka menangis di belakang jenazahnya tanpa disertai dengan ratapan, maka mereka akan melihat sesuatu yang menggembirakan berlaku ke atas pemimpin itu. Sesiapa yang melihat seolah-olah pemimpin mati dan orang ramai menyebut-nyebutnya orang yang baik, bererti ada kebaikan dalam kepemimpinannya.



Sesiapa yang melihat seolah-olah dia berada di tengah-tengah kumpulan orang-orang yang sudah mati, bermakna dia berada di tengah-tengah orang munafik, ertinya dia menyuruh mereka mengerjakan kebaikan tetapi mereka tidak mengendahkan suruhannya itu.



Sesiapa yang melihat dia pun mati dan tinggal bersama mereka bererti dia mati dalam bid'ah atau pergi merantau dan tidak kembali lagi.



Dan hikayat dan sebahagian mereka (ahli mimpi), sesiapa yang melihat seolah-olah dia bersahabat dengan orang mati akan pergi merantau jauh dan di sana dia mendapat kebaikan yang banyak. Jika dia bemimpi makan bersama orang-orang mati bererti panjang umurnya. Dan melihat matinya pemimpin menunjukkan dia akan digulingkan atau diberhentikan. Sedangkan melihat sakaratulmaut juga tidak baik mimpinya.

2. Memandikan mayat
Adapun mimpi memandikan mayat, sesiapa yang melihat mayat memandikan dirinya sendiri, bermakna keluarga atau anak-anak mayat itu lepas dari dukacita dan bertambah hartanya. Jika mayat itu dimandikan oleh seseorang, bermakna ada orang yang bertaubat di tangan orang yang memandikan itu.


Orang yang memandikan menurut asal mimpinya ialah peniaga yang banyak mendatangkan manfaat dan banyak membantu orang susah, atau juga dimimpikan sebagai orang mulia yang bertaubat di tangannya orang-orang yang berbuat dosa.



Sesiapa yang melihat bersama-sama orang yang memandikan, maka dia akan naik dan lepas dari kesusahan. Jika melihat orang-orang mati mencari orang yang membasuh pakaiannya, bererti orang mati, itu sangat berhajat kepada doa, sedekah dan orang yang akan membayar hutangnya dan melaksanakan wasiatnya. Jika orang yang bemimpi itu melihat seseorang membasuh pakaian orang yang sudah mati, bererti ada kebaikan dari yang memandikan itu yang sudah sampai bagi si mayat.

3. Melihat kafan
Manurut satu pendapat kafan dimimpikan dengan suka melakukan zina. Sesiapa yang melihat tidak sempuma pakaiannya, maka dia diajak melakukan zina tetapi tidak mengendahkannya. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia dibungkus dengan kain kafan seperti orang mati, menandakan dia akan mati. Jika dia lihat tidak tertutup kepala dan kakinya bererti ada yang kurang baik dalam agamanya.


Namun demikian terkadang kain kafan yang kurang bagi mayat diertikan sebagai dekatnya kepada taubat sedangkan kain kafan yang berlebihan diertikan sebagai jauhnya daripada taubat.



Sesiapa yang melihat seolah-olah kaum yang tidak dikenal menghiasnya dan memakaikan pakaian kemegahan kepadanya tanpa adanya sesuatu sebab seperti hari raya atau pengantin lalu mereka meninggalkannya bersendirian di satu rumah maka itu menunjukkan akan matinya.

4. Melihat keranda mayat
Sesiapa yang bermimpi seolah-olah dia diusung di dalam keranda, maka akan naik martabatnya dan banyak hartanya. Sesiapa yang bermimpi dimasukkan ke dalam keranda dan tidak ada orang yang mengangkat atau membawanya, bererti dia akan dipenjara.

Sesiapa yang melihat seolah-olah orang yang menghantarnya menangis di belakang kerandanya, maka baik mimpinya, begitu juga kalau dia melihat mereka memuji dan mendoakannya. Kalau dia melihat mereka tidak menangis dan tidak memujinya tidak baik.
.....bersambung..

Tiada ulasan: