Isnin, 13 Februari 2012

Jangan Ada Benci Di Hati

Jangan Ada Benci Di Hati 
Ramai juga orang yang gagal dalam pergaulan kerana menyimpan perasaan BENCI dalam hati mereka. Tuhan itu maha adil. Perasaan benci dalam diri kita akan menyebabkan ramai orang mudah benci terhadap kita. Misalnya, orang yang membenci ibu bapanya mungkin akan dibenci oleh rakan-rakannya. Orang yang membenci jirannya atau bekas kekasihnya mungkin akan dapat kebencian daripada rakan sekerjanya atau malahan ketua jabatannya. Justeru hapuskanlah segala perasaan benci daripada hati kita agar kita mudah menjalin hubungan dengan orang lain. 

Kaedah Mengikis Benci 

Cara yang terbaik untuk mengikis benci ialah dengan memaafkan semua orang sebelum tidur malam. Jika setiap malam sebelum tidur kita sentiasa mencuci muka, memberus gigi, membersihkan diri dan mengibas tempat tidur, tidak bolehkah kita mencuci hati kita dengan memaafkan semua orang sebelum tidur? 

Pengalaman secara peribadi penulis menunjukkan bahawa dengan memaafkan semua orang sebelum tidur, kita akan dapat membersihkan hati serta menenangkan fikiran dan mudah menjalin hubungan baik dengan orang lain. 

Faktor-faktor Yang Boleh Merangsang Kehebatan Dalam Pergaulan 

Antara faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain mudah tertarik kepada kita ialah: 

1) Jaga solat dan lakukan ibadah-ibadah khusus dan umum yang lain. 

2) Sentiasa bersangka baik terhadap semua orang (walaupun kita perlu berwaspada setiap masa). 

3) Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita. 

4) Banyakkan bersedekah, samada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan. 

5) Sentiasa memperbanyakkan sabar. Nabi s.a.w. pernah berpesan supaya mencari 144 sebab sebelum kita memarahi orang. 

6) Sentiasa ceria apabila berjumpa dengan orang lain. Pastikan setiap orang seronok 
berinteraksi dengan kita. 

7) Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang -menyayangi antara satu dengan yang lain. 

8) Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang kurang sopan akan menyebabkan orang lain rasa mual terhadap kita. 

9) Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insyaAllah orang lain akan tertarik kepada kita. 

10) Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal jalan apabila mengingati mati. 

11) Sentiasa syukur dan redha atas pemberian Allah swt. 

12) Sentiasa memberi salam dan ucap selamat kepada orang lain. Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia. 

13) Pamerkan simpati kepada setiap individu- individu yang memerlukan simpati dan perhatian. 

14) Jadilah pendengar dan kawan yang setia. 

15) Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan kelemahan atau keburukan orang lain. 

16) Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi perpisahan dengan doa. 

Terlebih Dahulu Baiki Diri 
Untuk menarik perhatian orang lain terhadap diri kita, kita perlu terlebih dahulu menyayangi dan memperbaiki diri kita. Orang yang mengasihi dirinya tidak akan melakukan sebarang kegiatan yang boleh men-sabotaj dan merosakkan dirinya. Setiap tindak-tanduknya akan dilakukan secara berhikmah dan sentiasa memikirkan perasaan orang lain. 

Ingatlah pesanan seorang sarjana: 
"Orang tidak kisah setakat mana yang anda tahu (berilmu), sehinggalah mereka tahu yang anda kisah terhadap mereka." 

Wallahu'alam

Selasa, 7 Februari 2012

Ketahui Fadilat dan Tatacara Wuduk

Dalam mengamalkan ibadah solat, mungkin ada antara kita tidak pernah terfikir mengapa setiap orang perlu mengambil wuduk sebelum mengerjakan solat? Berwuduk juga mempunyai tatacara dan fadilat tertentu. Untuk mendapat lebih keberkatan dan kesempurnaan ibadat, cuba ikuti beberapa panduan berwuduk seperti dinyatakan:

1.       Ketika berkumur, berniatlah dengan, “Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini”.
Penjelasan : Kita hari-hari bercakap benda-benda yang tidak berfaedah. Ketika air mencecah muka, niatkanlah didalam hati: “Sahaja aku mengambil wuduk kerana Allah Taala.”

2.      Ketika membasuh muka, berniatlah dengan, “Ya Allah, putihkanlah mukaku di akhirat kelak. Janganlah Kau hitamkan mukaku ini.”
Penjelasan : Ahli syurga mukanya putih dan berseri-seri.

3.      Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah dengan, “Ya Allah, berikanlah kitab hisabku ditangan kananku ini”.
Penjelasan : Ahli syurga diberikan kitab hisabnya ditangan kanan.

4.       Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah dengan, “Ya Allah, janganlah Kau berikan kitab hisabku ditangan kiriku ini”.
Penjelasan : Ahli neraka diberikan kitab hisabnya di tangan kiri.

5.      Ketika membasuh kepala, berniatlah dengan, “Ya Allah, lindungilah daku dari terik matahari di padang Mahsyar dengan Arasy-Mu”.
Penjelasan : Panas di Padang Mahsyar bagaikan matahari sejengkal di atas kepala.

6.       Ketika membasuh telinga, berniatlah dengan, “Ya Allah, ampunilah  dosa telingaku ini”.
Penjelasan : Telinga kita hari-hari mendengar orang mengumpat, memfitnah dan sebagainya.

7.      Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah dengan, “Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian SiratulMustaqqim”.
Penjelasan : Ahli syurga melintasi titian dengan pantas sekali.

8.      Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah dengan, “Ya Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid, surau dan bukan tempat maksiat.”
Penjelasan : Qada’ dan Qadar kita di tangan Allah.

Semoga kita ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh di akhirat nanti. Wasalam….