Rabu, 20 Januari 2010

Taktik panggilan rambang perdaya mangsa

KUALA LUMPUR - Penjenayah yang terbabit dalam sindiket penipuan kad kredit kini semakin licik apabila sanggup menyamar sebagai pegawai bank dan membuat panggilan secara rambang kepada pelanggan tertentu untuk mendapatkan maklumat akaun sebelum melakukan pemindahan wang di luar pengetahuan mangsa.

Kebanyakan pelanggan yang menjadi mangsa mendakwa ahli sindiket ini akan membuat panggilan untuk meminta pengesahan maklumat kerana curiga kad kredit milik mangsa sedang digunakan oleh pihak lain.

Rata-rata pelanggan mempercayai suspek kerana mereka akan dihubungi oleh pegawai kedua dari Bank Negara yang berpura-pura untuk mengesahkan panggilan pertama yang dibuat, sebelum meminta mangsa memberikan nombor kad kredit serta maklumat terperinci berhubung akaun mereka.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, terbaru, seorang kerani wanita berusia 40 tahun, turut dilaporkan menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan dan mengalami kerugian kira-kira RM4,000.

Menurutnya, mangsa yang dikenali sebagai Low berkata, pada 9 Januari lalu dia menerima panggilan daripada sebuah bank yang kononnya mahu mendapatkan pengesahan berhubung pembelian barangan kemas Poh Kong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dibayar menerusi kad kredit miliknya.

“Mangsa yang berasa pelik tidak mengendahkan panggilan tersebut kerana dia berada di rumah ketika itu dan tidak pernah membuat sebarang pembelian tersebut.:

“Tidak lama kemudian, mangsa mendakwa menerima satu panggilan lain dari Bank Negara dan memintanya untuk memberikan maklumat terperinci berhubung akaun bank termasuk nombor pengenalan yang tertera pada kad kreditnya,” katanya semalam.

Michael berkata, pegawai terbabit memberi alasan kepada mangsa bahawa mereka mengesyaki kad kredit milik mangsa digunakan oleh orang lain dan sedang menyiasat perkara itu:.

Katanya, beberapa minit selepas itu, mangsa kemudiannya dihubungi oleh seorang lagi pegawai bank yang dikenali sebagai ‘Alan’ yang meminta mangsa untuk memberikan nombor akaun untuk pengesahan kedua sebelum mengarahkannya ke ATM berdekatan untuk memeriksa nombor 16 digit yang tertera pada kad miliknya.

“Pegawai terbabit dikatakan berpura-pura memberi panduan kepada mangsa untuk memeriksa akaunnya termasuk menukar kata laluan kad, sehingga mangsa tidak menyedari bahawa dia sedang diperdaya untuk membuat pemindahan wang ke akaun lain,” katanya.:

Menurutnya, mangsa bagaimanapun hanya menyedari dia diperangkap oleh sindiket itu pada keesokan harinya, selepas mendapati wang simpanannya dipindahkan ke akaun lain.

Beliau berkata, mangsa terus membuat laporan polis di Balai Polis Setapak berhubung kejadian sebelum tampil ke Wisma MCA membuat aduan.

Dalam pada itu, Michael mengesahkan bahawa Low bukanlah mangsa pertama sindiket berkenaan kerana bagi tempoh tahun lalu, pihaknya menerima aduan daripada tiga mangsa berhubung kes sama membabitkan kerugian mencecah RM52,000.

Katanya, beliau percaya ramai lagi yang terpedaya dan menjadi mangsa sindiket terbabit tetapi malu untuk tampil membuat aduan. Jelasnya, orang awam perlu lebih berhati-hati terhadap panggilan yang diterima dan disarankan untuk terus pergi ke bank membuat pengesahan sekiranya mendapat panggilan yang mencurigakan.

copy from:
sinar harian 20012010

Tiada ulasan: