Isnin, 9 Mei 2011

Langkah Yang Perlu Diambil Oleh Kerajaan Untuk Kurangkan Perokok


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil langkah yang serius memandangkan merokok telah mengancam individu dan kesihatan masyarakat. Langkah yang lebih konkrit mestilah dilakukan dalam dasar negara dan dilaksanakan dengan tegas untuk memerangi masalah penggunaan tembakau yang semakin berkembang.
1) Kurangkan Permintaan

a. Jadikan harga rokok minimum yang lebih tinggi bagi rokok untuk memastikan perokok menghentikan tabiat mereka yang membazirkan wang itu. Harga runcit rokok berjenama premium perlu ditetapkan pada kadar yang lebih tinggi bagi kotak 20 batang, lebih tinggi berbanding harga semasa kira-kira RM10 sekotak. Harga premium rokok berjenama di United Kingdom ialah RM36.60, Ireland RM37.98, Singapura RM27.80, New Zealand RM27.20, Jepun RM10.60 dan Sri Lanka RM10.90.

b. Menguatkuasakan pengharaman jualan rokok secara berasingan untuk memastikan peruncit tidak menjualnya.

c. Menaikkan duti eksais ke atas produk tembakau dan meningkatkan penguatkuasaan untuk mencegah penyeludupan secara haram, barangan gelap atau rokok bebas cukai. Ini membantu untuk memastikan rokok tidak diperolehi dengan mudah oleh sebahagian besar penduduk.

d. Hapuskan status bebas cukai bagi rokok dan produk tembakau yang dijual di lapangan terbang dan kedai bebas cukai.

e. Hentikan penjualan rokok di atas kapal terbang Malaysia.

f. Haramkan pameran rokok di kaunter bayaran setiap premis dan kedai runcit serta tempat tumpuan utama lain. Sebagai ganti, produk ini perlu dijauhkan daripada pandangan awam, contohnya di bawah kaunter bayaran, dan hanya dikeluarkan untuk dijual atas permintaan khusus pelanggan.

2) Melindungi daripada perokok pasif – melanjutkan pengharaman merokok meliputi semua tempat awam termasuk restoran, bar, taman dan kawasan rekreasi.

3) Memperkenalkan sistem pelesenan yang menghadkan bilangan dan lokasi premis yang dibenarkan untuk menjual produk tembakau. Lesen seharusnya tertakluk kepada pembaharuan setiap tahun.

4) Meningkatkan langkah menghapuskan penanaman tembakau, dan menjadikannya haram untuk menanam tembakau.

5) Meningkatkan dana kerajaan untuk pendidikan, kempen anti-merokok, dan langkah untuk membantu perokok menghilangkan tabiat merokok mereka.

6) Melarang mengaitkan pendidikan, aktiviti sukan, biasiswa dengan syarikat dan produk tembakau.

7) Keazaman politik yang kuat dan melaksanakan dasar peraturan yang tegas untuk mengawal tabiat merokok di negara. Kerajaan perlu menghentikan menggunakan usaha menghapuskan kemiskinan dan perlindungan petani sebagai alasan untuk gagal mengambil tindakan tegas terhadap pengeluaran dan promosi tembakau.

8) Mengharamkan publisiti bagi produk tembakau dalam sebarang bentuk. Pemimpin kerajaan perlu menunjukkan contoh teladan dan melalui sokongan bagi mengurangkan perokok dan penyakit yang dikaitkan dengannya.

9) Hentikan sebarang bentuk tidak ketara daripada sokongan kerajaan untuk produk tembakau – pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan mestilah menghentikan daripada memberikan sokongan kepada syarikat tembakau multinasional sebagai warga korporat yang baik, dengan itu memberikan mereka peluang untuk mengurangkan kesan terhadap dasar tembakau.

10) Sokongan media juga turut diperlukan untuk menghentikan aktiviti merokok – pihak media perlu meningkatkan liputan terhadap kesan negatif tembakau untuk meningkatkan kesedaran komuniti terhadap bahaya merokok dan menggalakkan mereka berhenti merokok.
Tembakau adalah penyebab penyakit utama yang boleh dicegah, kehilangan masa yang berharga dan kematian awal dalam kalangan rakyat Malaysia. Kami menggesa kerajaan supaya tidak lagi berada dalam konflik tetapi meletakkan kepentingan orang ramai mengatasi kepentingan industri.
Oleh : Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Tiada ulasan: