Ahad, 17 April 2011

Empat Perkara Yang Di Dahulukan Oleh Umat Akhir Zaman


Ada mata lihat, ada telinga dengar, ada hati rasa, ada akal fikir.
Hakikatnya, umat manusia diakhir zaman yang didahulukan adalah:

1) Harta

Melalui harta kononnya manusia akan menjadi seorang penguasa yang dihormati. Tetapi pada hakikatnya, harta itu tidak akan membuatkan kamu menjadi seorang yang berkuasa seandainya tiada sedekah yang diberikan kepada orang-orang yang tidak berharta. Bagaimana boleh dikatakan kamu yang berharta dikatakan seorang yang berkuasa? Sedangkan apabila lahirnya seorang hartawan, maka lahirnya juga 1000 manusia yang berada di dalam kesusahan? Justeru, kenapa Allah menjadikan kamu seorang hartawan? Tugas kamu adalah untuk menjadi seorang dermawan. Sedarlah wahai hartawan, jutawan sekalian.. Tiada bekalan yang akan kamu bawa nanti untuk menempuh kesusahan kiamat melainkan sedikit harta yang telah kamu sedekahkan.

2) Pangkat

Semua manusia mengejar pangkat. Untuk apakah pangkat itu kalau bukan kerana untuk menyenangkan hidup kaum kerabat dan sanak saudara. Sebagai contoh, adakah adil seorang insan yang berpendidikan tinggi, bermotivasi tinggi, berilmu tinggi dipinggirkan daripada mendapat jawatan yang sepatutnya layak untuknya hanya kerana ingin mengisikan jawatan tersebut pada kaum kerabatmu?

Mungkin juga pangkat itu digunakan untuk menambahkan pengikut-pengikut persatuan atau kelab-kelab kamu dengan menggunakan syarat tertentu untuk mencari calon untuk mengisi jawatan tersebut. Adilkah kamu sebagai manusia yang berpangkat? Sedarkah kamu, bahawa Allah itu sentiasa menilai hidup dan segala amalanmu? Satu penganiyaan telah kamu lakukan seandainya pangkat yang kamu ada digunakan untuk kepentingan kamu dan keluargamu sahaja. Boleh jadi orang yang memohon kerja itu adalah orang yang berlatarbelakngkan keluarga yang susah. Jadi, kamu telah menganiayanya serta keluarganya hanya untuk kepentingan keluargamu.

3) Hiburan

Hiburan yang menyebabkan manusia semakin lalai dan alpa kepada Allah s.w.t. Hiburan yang menyebabkan terjadinya perbagai masalah sosial dikalangan anak remaja. Hiburan ini adalah yang menyesatkan manusia diakhir zaman.

Hiburan yang dituntut adalah zikrullah. Tiada satu pun hiburan didunia ini yang dapat menenangkan hati dan jiwa seseorang manusia melainkan bertasbih, bertahmid dan bertakbir kepada Allah s.w.t. Hiburan itu jugalah yang sama-sama dilakukan oleh para malaikat dan para Anbiya’. Tempat hiburan yang terindah adalah di atas sejadah-Nya bukan dikelab-kelab malam, juga bukan ditepi-tepi pantai dan sebagainya. Wahai manusia akhir zaman, sedarlah segera selagi masih ada pintu taubat untukmu.

4) Kekasih hati

”Apa yang penting adalah cinta hatiku. Parent tidak suka, tidak mengapalah. Aku yang akan berkahwin, bukan mereka”. Inilah ungkapan yang akan dikeluarkan oleh manusia yang telah mendahulukan kekasih hatinya daripada Ibu bapa sendiri. Sedarkah kamu, perkahwinan itu bukan antara kamu dan kekasihmu sahaja. Perkahwinan itu merangkumi seluruh keluarga dan sanak saudara kamu. Jika kamu mengenepikan ibu bapa mu dalam pencarian jodohmu, Allah juga akan mengenepikan doa-doa kamu untuk memperoleh kebahagiaan untuk kehidupan kamu berdua.
Kebahagiaan kamu di atas keredhaan ibubapamu. Maka, hormatilah mereka terlebih dahulu sebelum kamu menghormati pasangan kamu. Sesungguhnya tiada ibubapa yang ingin melihat anak-anak mereka hidup menderita. Jika ada halangan daripada mereka, fikirkan secara mendalam. Pasti ada sebabnya.

Secara keseluruhannya, keempat-empat perkara ini, berpunca daripada satu. Iaitu NAFSU. Manusia akhir zaman, hanya memikirkan nafsu semata-mata. Itulah yang menolak kamu semua ke neraka. Semoga kalian semua terselamat daripada azab siksa api neraka tersebut. Aminn.

Tiada ulasan: